BRUSSELS: Parlimen Eropah memberikan sokongan muktamad kepada perundangan yang melaksanakan perjanjian perdagangan Kesatuan Eropah (EU)-Amerika Syarikat (AS) yang dicapai hampir setahun lepas, pada Selasa sekali gus membuka jalan kepada pengurangan tarif di samping memperkenalkan langkah perlindungan bagi industri dan pertanian Eropah, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ahli parlimen meluluskan peraturan utama itu dengan 440 undi menyokong, 151 menentang dan 50 berkecuali, membenarkan akses bebas tarif untuk semua barangan industri AS serta layanan istimewa bagi pelbagai produk makanan laut dan pertanian Amerika.
Langkah kedua pula diluluskan dengan 444 undi menyokong, 152 menentang dan 54 berkecuali, bagi melanjutkan import bebas tarif udang kara AS dan memperluas aturan itu untuk merangkumi produk udang kara yang diproses.
Perundangan berkenaan menterjemahkan komitmen yang dibuat di bawah kenyataan bersama yang dipersetujui oleh Presiden AS Donald Trump dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen di Turnberry, Scotland, pada Julai 2025.
Suruhanjaya Eropah membentangkan cadangan berkaitan sebulan kemudian, namun kelulusannya memerlukan rundingan yang panjang antara Parlimen Eropah dan Majlis EU.
Parlimen Eropah dan negara anggota memperkukuh teks asal Suruhanjaya EU dengan menambah beberapa langkah perlindungan, termasuk klausa luput yang menetapkan keistimewaan tarif itu akan tamat pada 31 Disember 2029, melainkan ia diperbaharui.
Peraturan yang dipersetujui itu juga membenarkan Suruhanjaya Eropah untuk menggantung keistimewaan tarif sekiranya AS terus mengenakan tarif melebihi 15 peratus ke atas produk terbitan keluli dan aluminium EU selepas 31 Disember 2026.
Mekanisme penggantungan yang lebih luas turut dimasukkan bagi membolehkan EU bertindak balas sekiranya Washington gagal menangani kebimbangan mengenai tarif yang menjejaskan eksport Eropah tertentu, yang sebelum ini mendapat manfaat daripada siling tarif inklusif sebanyak 15 peratus.
Selain itu, perundangan terbabit menetapkan mekanisme perlindungan yang membolehkan Brussels menyiasat dan menangani lonjakan import yang berisiko menjejaskan industri EU secara serius, termasuk sektor pertanian.
“Dengan mercu tanda ini, kami hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk memenuhi komitmen kami bagi menghapuskan tarif ke atas import barangan industri AS. Melalui pelaksanaan sepenuhnya oleh kedua-dua pihak, perjanjian kami akan memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat dan perniagaan,” kata von der Leyen menerusi hantaran di laman X.
Perundangan itu kini menunggu kelulusan rasmi daripada Majlis EU sebelum dikuatkuasakan selepas diterbitkan dalam Jurnal Rasmi EU.
-- BERNAMA-ANADOLU