Skip to main content

Dunia

AS umum tarif baharu terhadap 60 rakan dagang susulan dakwaan buruh paksa

US President Donald Trump arrives for an event to honour the 2025 World Series champions Los Angeles Dodgers in the Rose Garden of the White House, Thursday, Jul 23, 2026, in Washington. (Photo: AP/Alex Brandon)
Presiden Trump tiba di Rose Garden, White House, Washington pada Khamis bagi meraikan kejayaan pasukan besbol profesional Amerika Syarikat, Los Angeles Dodgers merangkul kejuaraan World Series 2025. - Gambar AP

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarif baharu ke atas import dari 60 rakan dagangnya susulan kebimbangan berkaitan amalan buruh paksa, dalam langkah terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump untuk memperkukuh semula agenda perdagangan yang berteraskan perlindungan industri domestik.

Tarif yang berkuat kuasa pada Jumaat itu berada dalam lingkungan 10 hingga 12.5 peratus dan melibatkan beberapa ekonomi utama dunia termasuk China, India, Jepun, Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK) dan Kanada.

Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, Washington telah menguatkuasakan larangan ke atas import yang dihasilkan melalui buruh paksa sejak hampir satu abad lalu dan kini menggesa rakan dagangnya mengambil pendekatan serupa.

"Sudah tiba masanya rakan dagang kami melaksanakan dan menguatkuasakan larangan buruh paksa dengan tegas seperti yang dilakukan AS," katanya ketika mengumumkan tarif berkenaan.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran Trump membina semula "tembok tarif" selepas Mahkamah Agung AS pada Februari lalu membatalkan beberapa tarif yang dikenakan sebelum ini, sekali gus menjejaskan keupayaan Presiden untuk mengenakan cukai import secara meluas menggunakan kuasa darurat.

Selepas berdepan halangan perundangan itu, Trump menggunakan peruntukan undang-undang lain bagi mengenakan semula tarif asas 10 peratus ke atas import. 

Namun, langkah sementara tersebut hanya sah selama 150 hari dan tamat tempohnya pada Jumaat, dengan tarif baharu kini mengambil tempat sebagai mekanisme gantian.

Menurut pegawai AS, tarif terbaharu itu merupakan hasil siasatan yang dijalankan selama beberapa bulan dan dianggap mempunyai asas perundangan lebih kukuh berbanding tindakan terdahulu, sekali gus lebih sukar dicabar di mahkamah.

Di bawah struktur baharu itu, negara dan blok ekonomi yang telah melaksanakan larangan terhadap buruh paksa dikenakan kadar lebih rendah iaitu 10 peratus. Kumpulan itu merangkumi Kanada, EU dan UK.

Sebaliknya, negara yang dianggap gagal mengambil tindakan mencukupi akan dikenakan tarif lebih tinggi sebanyak 12.5 peratus. 

Antara yang termasuk dalam kategori itu ialah China dan Jepun.

Bagaimanapun, beberapa produk yang sudah dikenakan tarif sektoral khusus seperti keluli dan aluminium tidak terjejas oleh langkah baharu tersebut.

Barangan yang memasuki AS menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas AS-Mexico-Kanada (USMCA) turut dikecualikan.

AS kekalkan tekanan terhadap rakan dagang

Pengumuman terbaharu itu turut mengekalkan tekanan ke atas rakan dagang AS apabila Washington sedang menjalankan siasatan berasingan terhadap 16 ekonomi utama dunia berhubung dakwaan lebihan kapasiti perindustrian dan pembuatan.

Siasatan tersebut berpotensi membawa kepada pengenaan tarif tambahan pada masa depan, dengan kadar yang mungkin berbeza mengikut negara.

Peguam perdagangan, Greta Peisch berkata, pendekatan mengenakan tarif asas sambil mengekalkan ancaman tarif tambahan memberi Washington kelebihan dalam rundingan dengan rakan dagangnya.

Katanya, langkah itu turut memberi insentif kepada negara-negara terbabit untuk mematuhi komitmen perdagangan yang telah dipersetujui sebelum ini.

Peisch yang pernah berkhidmat sebagai penasihat undang-undang utama di Pejabat Wakil Perdagangan AS berkata, pentadbiran Trump kini berusaha memastikan setiap tarif yang diperkenalkan mempunyai asas kukuh sekiranya berdepan cabaran mahkamah.

Penganalisis daripada Atlantic Council, Josh Lipsky pula berpendapat, tindakan itu menunjukkan ekonomi terbesar dunia sedang bergerak ke arah dasar perlindungan perdagangan bagi melindungi kepentingan ekonomi dan industri Amerika Syarikat.

Menurut beliau, pendekatan baharu Washington meningkatkan kemungkinan tarif itu kekal dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran Trump.

Bekas pegawai perdagangan AS, Ryan Majerus berkata, pentadbiran Trump terus mencari ruang undang-undang yang membolehkan tarif digunakan secara agresif sebagai instrumen dasar perdagangan.

Beliau menjelaskan, Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, yang digunakan bagi mengenakan tarif terbaharu ini, memberikan fleksibiliti lebih besar kepada kerajaan AS berbanding tanggapan umum dan membolehkan kadar cukai diubah suai mengikut perkembangan semasa.

Ketegangan perdagangan global terus meningkat

Pengumuman terbaharu itu dibuat ketika ketegangan perdagangan global kembali memuncak.

Awal minggu ini, tarif 25 peratus mula dikuatkuasakan ke atas pelbagai barangan dari Brazil selepas Washington menuduh negara Amerika Latin itu mengamalkan dasar perdagangan yang tidak adil susulan siasatan selama setahun.

Trump turut mengarahkan pengenaan tarif baharu sebanyak 50 peratus ke atas banyak produk Kanada dengan mendakwa Ottawa mengamalkan layanan diskriminasi terhadap produk alkohol, automotif dan tenusu dari AS.

Pakar berpendapat, langkah tersebut menunjukkan Trump masih mempunyai pelbagai instrumen untuk menggunakan tarif sebagai alat tekanan walaupun berdepan cabaran undang-undang.

Malah, beberapa pemerhati melihat perkembangan itu sebagai petanda bahawa perjanjian perdagangan yang dimeterai AS dengan rakan dagangnya masih belum benar-benar stabil dan boleh berubah mengikut pertimbangan politik serta ekonomi semasa.

Walaupun begitu, EU menegaskan ia menjangkakan Washington akan terus menghormati komitmen yang telah dipersetujui di bawah kenyataan bersama EU-AS yang ditandatangani sebelum ini.

Dalam masa sama, ahli ekonomi memberi amaran bahawa peningkatan tarif berpotensi menaikkan harga pelbagai barangan pengguna seperti kopi, peralatan elektrik dan produk import lain kerana kos tambahan yang ditanggung pengimport lazimnya akan dipindahkan kepada pengguna.

White House bagaimanapun mempertahankan langkah itu dengan menegaskan tarif diperlukan untuk melindungi pekerja Amerika, memperkukuh sektor pembuatan domestik serta memastikan persaingan perdagangan yang lebih adil di pasaran global.

Namun, banyak negara yang terjejas dijangka mempertimbangkan tindakan balas termasuk cabaran undang-undang dan pengenaan tarif timbal balas, yang berpotensi mencetuskan fasa baharu dalam perang perdagangan global yang semakin sengit. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement