PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump berkata beliau akan menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk meminta supaya Israel tidak melakukan serangan balas terhadap peluru berpandu Iran.
Trump berkata beliau tidak mahu tindakan balas berlaku kerana ia boleh menjejaskan rundingan damai yang sedang hampir dimuktamadkan antara Washington dan Tehran.
“Israel sudah buat serangan, Iran juga sudah buat serangan. Kita tidak perlu lagi satu pusingan,” katanya.
Memetik laporan AFP, Trump turut menyifatkan serangan peluru berpandu Iran tidak menyebabkan sebarang kecederaan serius dan berharap Israel tidak bertindak balas.
Beliau memberi amaran bahawa tindakan balas hanya akan memanjangkan konflik yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Dalam masa sama, Trump berkata perjanjian dengan Iran kini “sangat hampir” dan beliau tidak mahu rundingan itu terganggu akibat ketegangan terkini.
Beliau turut menggesa Iran kembali ke meja rundingan dan memuktamadkan perjanjian damai.
Trump bagaimanapun mengkritik serangan awal Israel ke atas Beirut, dengan menyatakan beliau “tidak gembira” dengan tindakan tersebut.
Sebelum ini, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel selepas serangan Israel di Beirut, sekali gus meningkatkan ketegangan di rantau itu.