Skip to main content

Malaysia

Mahkamah tetap 5 Ogos untuk keputusan rayuan pendakwaan berhubung pembebasan penulis blog

71743102937_courtgavel.jpg
Rayuan itu melibatkan dua pertuduhan, iaitu membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO melalui YouTube serta gagal memberikan kata laluan akaun YouTube kepada pegawai polis. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 5 Ogos untuk keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan penulis blog Jufazli Shi Ahmad. 

Rayuan itu melibatkan dua pertuduhan, iaitu membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO melalui YouTube serta gagal memberikan kata laluan akaun YouTube kepada pegawai polis.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan dan peguam Ramesh N.P. Chandran yang mewakili Jufazli. 

Pada 18 Okt 2024, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Jufazli, 37, daripada dua pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan. 

Terdahulu, Mohamad Shahrizzat menghujahkan hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam memutuskan tiada keterangan yang menunjukkan responden (Jufazli) memuat naik video itu selain turut terkhilaf dalam membebaskannya yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Ramesh berkata pihak pendakwaan gagal mengemukakan sebarang bukti daripada pihak YouTube sendiri untuk membuktikan responden adalah pentadbir atau pemilik akaun YouTube yang dikenali sebagai “KingMaker”.

Pada 7 Julai 2022, Jufazli mengaku tidak bersalah atas tuduhan  membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan memuat naik video itu ke akaun YouTube King Maker Politik pada 3 petang 27 Jun 2022.

Pautan video jelik itu dilihat pada 3 petang di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 1 Julai tahun sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Jufazli juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal memberikan kata laluan akaun YouTube King Maker Politik yang disimpan dalam telefon bimbitnya kepada pegawai polis di IPD Dang Wangi pada 12.10 tengah hari 5 Julai 2022.

Pertuduhan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 249 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement