Skip to main content

Malaysia

Arkib Komuniti berjaya tingkat kesedaran pelihara sejarah - Aaron

IPOH, 8 Jun -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang (tengah) bergambar ketika merasmikan Persidangan Southeast Asia-Pacific Audiovisual Archive Association (SEAPAVAA) Ke-30 hari ini.  Turut hadir Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Zaidin Mohd Noor (dua,kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aaron (tengah) bergambar ketika merasmikan Persidangan Southeast Asia-Pacific Audiovisual Archive Association (SEAPAVAA) Ke-30 hari ini. - Gambar Bernama

IPOH: Inisiatif Arkib Komuniti di Malaysia dilihat berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia bahawa memelihara sejarah ialah tanggungjawab bersama, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata inisiatif berkenaan menjadi amalan terbaik dengan banyak rekod sejarah berharga yang masih wujud dalam komuniti seperti album keluarga, koleksi kampung, persatuan tempatan, rumah ibadat, sekolah, dan koleksi peribadi didokumentasikan.

“Kita telah pun mengadakan program ini selama beberapa tahun dan sambutan amat memberangsangkan, seperti yang saya katakan tadi, dalam dua, tiga tahun ini kita telah mendapat lebih 300,000 bahan daripada komuniti untuk didokumentasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Persatuan Arkib AudioVisual Asia Tenggara dan Pasifik (SEAPAVAA) ke-30 tahun ini, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Zaidin Mohd Noor dan Presiden SEAPAVAA Karen Chan.

Sementara itu, Aaron dalam ucapan alu-aluannya berkata institusi negara memainkan peranan penting dalam memelihara warisan dokumentari dan tanggungjawab itu tidak boleh bergantung pada kerajaan dan profesional arkib semata-mata, sebaliknya masa depan pemeliharaan arkib turut bergantung pada penyertaan komuniti yang aktif.

"Sehubungan dengan itu, saya menggalakkan komuniti di seluruh Asia Tenggara dan Pasifik untuk menyertai secara aktif dalam mendokumentasikan dan memelihara sejarah tempatan, tradisi dan koleksi kenangan mereka. Apabila pemeliharaan menjadi tanggungjawab bersama, arkib kita akan menjadi lebih kaya, lebih inklusif, dan lebih mewakili kepelbagaian masyarakat," katanya.

Berhubung kecerdasan buatan (AI), Aaron berkata teknologi itu dilihat amat membantu dalam mengubah aliran kerja arkib kerana teknologi berkenaan dapat mengenal pasti wajah, objek, lokasi dan acara bersejarah secara automatik dalam koleksi besar.

"Alat pembelajaran mesin ini dapat membantu juruarkib mengkatalogkan sejumlah besar kandungan digital yang sebelum ini memerlukan tempoh bertahun-tahun sekiranya diproses secara manual.

"Teknologi pemulihan yang canggih juga memberikan nafas baharu kepada bahan yang rosak. Pemulihan yang dibantu AI dapat menghilangkan calar pada filem, meningkatkan kejelasan audio, membuat semula rakaman yang kurang berkualiti, dan menambah baik rakaman bersejarah sambil mengekalkan keasliannya," katanya.

Persidangan bertemakan “Redefining Audiovisual in Archives: Relevancy, Technology and Unity” itu mengulangi komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serantau dan mengguna pakai inovasi teknologi dalam melindungi warisan audiovisual serantau untuk generasi akan datang.

Edisi tahun ini menghimpunkan juruarkib audiovisual, profesional warisan, ahli akademik dan penggubal dasar dari seluruh rantau Asia Pasifik untuk membincangkan cabaran baharu, kemajuan teknologi dan pendekatan kerjasama untuk memelihara warisan audiovisual pada era digital.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement