Skip to main content

Malaysia

Pelajar SMK Semop, SMK Dalat kini nikmati kemudahan pembelajaran lebih selesa

[TB]_KKR Mukah SMK_KKR
Penyerahan kedua-dua projek itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI melalui KKR dan JKR dalam memastikan pelajar serta warga sekolah mendapat akses kepada kemudahan pendidikan yang berkualiti, selesa dan selamat. - Gambar/ KKR

MUKAH: Pelajar di SMK Semop dan SMK Dalat kini menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih selesa, moden dan kondusif susulan penyiapan dua projek pembangunan infrastruktur pendidikan bernilai lebih RM37.7 juta di kedua-dua sekolah berkenaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek tersebut melibatkan pembinaan bangunan baharu 12 bilik darjah di SMK Semop serta bangunan gantian 18 bilik darjah di SMK Dalat yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menerusi Pasukan Projek Khas 2 (PPK2).

Beliau berkata penyerahan kedua-dua projek itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR dalam memastikan pelajar serta warga sekolah, khususnya di kawasan luar bandar Sarawak, mendapat akses kepada kemudahan pendidikan yang berkualiti, selesa dan selamat.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih moden, selamat dan kondusif, malah menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan generasi masa depan yang berilmu, berkemahiran serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks,” katanya pada majlis penyerahan projek berkenaan di SMK Dalat, di sini, hari ini.

Beliau berkata projek pembinaan di SMK Semop, Daro, yang bernilai RM10.56 juta telah berjaya disiapkan 164 hari lebih awal daripada jadual asal tanpa sebarang lanjutan masa.

Projek tersebut melibatkan pembinaan sebuah blok akademik yang menempatkan 12 bilik darjah lengkap dengan pelbagai kemudahan sokongan bagi meningkatkan keselesaan dan keberkesanan proses pembelajaran serta pengajaran.

Sementara itu, projek pembangunan semula SMK Dalat bernilai RM27.2 juta pula telah disiapkan pada 30 Disember lepas, iaitu 10 hari lebih awal daripada jadual ditetapkan.

Selain menyediakan 18 bilik darjah baharu, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan bengkel, makmal, kemudahan pentadbiran sekolah, kantin, surau, sistem kumbahan moden serta menara tangki air berkapasiti tinggi.

Kedua-dua projek dilaksanakan menggunakan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi memastikan proses pembinaan yang lebih berkualiti, teratur dan efisien, selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat serta lestari.

Nanta berkata kejayaan pelaksanaan projek secara reka dan bina itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan pendidikan di Sarawak melalui penyediaan kemudahan yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa JKR Malaysia akan terus memantau prestasi bangunan sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) bagi memastikan semua kemudahan yang disediakan berfungsi dengan baik dan memenuhi keperluan warga sekolah.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement