ISTANBUL: Pihak berkuasa penerbangan awam Kuwait mengumumkan pada Khamis, trafik udara di ruang udara Kuwait telah kembali normal selepas keadaan yang mendorong langkah berjaga-jaga reda, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pihak berkuasa berkata ia memantau teliti perkembangan sepanjang masa dan dalam penyelarasan dengan agensi domestik dan antarabangsa yang berkaitan untuk memastikan tahap keselamatan tertinggi di ruang udara negara.
Ia menambah operasi biasa juga telah disambung semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, dengan penerbangan beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan.
Terdahulu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata 18 sasaran utama tentera AS telah diserang di pangkalan udara Ali Al Salem dan Ahmad Al Jaber di Kuwait, serta Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain.
Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak berikutan serangan AS ke atas selatan Iran dan pengumuman seterusnya oleh Tehran mengenai penutupan Selat Hormuz kepada semua kapal.
-- BERNAMA-ANADOLU