PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan asas negara kekal stabil meskipun krisis bekalan global berterusan, dengan fokus utama memastikan pekerjaan, tenaga dan makanan rakyat terus terjamin.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkembangan semasa menunjukkan krisis itu masih memberi tekanan kepada pasaran tenaga, makanan, logistik serta kos sara hidup.
Menurut beliau, harga tenaga global kekal tidak menentu apabila harga gas asli cecair (LNG) meningkat 4.6 peratus, manakala harga arang batu melonjak 8.2 peratus dalam tempoh awal Jun 2026.
“Tekanan kepada tenaga akan menekan logistik, seterusnya memberi kesan kepada harga dan akhirnya rakyat akan menanggung implikasi tersebut,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), pada Khamis.
Dalam masa sama, pasaran buruh negara kekal stabil dengan kadar pengangguran pada paras 3.0 peratus, manakala penempatan pekerjaan meningkat 19 peratus pada Mei kepada 14,366.
Dalam pada itu Akmal berkata, bekalan elektrik kekal mencukupi dengan kapasiti rizab sistem berada pada tahap selesa, manakala bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan juga berada pada tahap risiko rendah.
Sepanjang 100 hari krisis yang berpunca daripada konflik Asia Barat, Akmal berkata, sebanyak 126 keputusan telah dibuat oleh MTEN, namun hanya 15 telah selesai dilaksanakan, manakala selebihnya sedang dalam tindakan merangkumi langkah jangka sederhana dan panjang.
Beliau berkata, dalam usaha mengekang tekanan kos sara hidup, pemantauan harga makanan terus diperkukuh melalui platform PriceCatcher melibatkan lebih 2,000 premis runcit di seluruh negara.
Selain itu, kerajaan juga telah menyalurkan bantuan awal kepada pesawah sebanyak RM200 sehektar, yang setakat ini telah memanfaatkan hampir 180,000 pesawah di Semenanjung Malaysia.
“Keutamaan kerajaan adalah jelas ... memastikan bekalan mencukupi, industri terus beroperasi dan rakyat dilindungi dalam keadaan global yang tidak menentu,” katanya.