GAZA: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, mengecam keras tindakan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang melakukan siri tangkapan terhadap warga Palestin di Tebing Barat, sambil menyifatkannya sebagai usaha menyekat gerakan penentangan serta menindas rakyat sendiri.
Hamas dalam satu kenyataan rasmi memberi amaran mengenai amalan berat sebelah dan pendekatan tidak patriotik oleh PA yang didakwa terus menjalinkan koordinasi keselamatan dengan pihak berkuasa Israel.
Tindakan itu diselar ketika Israel serta pendatang haram mempergiat serangan ketenteraan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Kumpulan itu turut mendakwa tindakan tentera Israel menahan anggota penentang Palestin sebaik sahaja mereka dibebaskan dari tahanan PA sebagai satu jenayah nasional.
“Ini merupakan tindakan tikam dari belakang ke atas rakyat Palestin dan gerakan penentangan mereka, pada ketika rakyat berhadapan dengan perang serta pengusiran paksa,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Hamas mendesak kepimpinan PA supaya menghentikan serta-merta tindakan yang disifatkan sebagai pendakwaan politik, membebaskan semua tahanan tanpa syarat, dan menamatkan apa yang digelar sebagai koordinasi keselamatan dengan Israel.