WASHINGTON: Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Thomas Massie, mendakwa penglibatan ketenteraan negara itu dalam konflik melibatkan Iran telah menjejaskan kestabilan ekonomi serta keupayaan pertahanan domestik dengan ketara.
Menerusi satu hantaran di platform X, wakil rakyat Republikan dari Kentucky itu berkata pelbagai pengorbanan melibatkan aset strategik dan kepentingan domestik yang dilakukan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump dilaksanakan demi kepentingan Israel.
"Amerika Syarikat telah dilemahkan secara signifikan oleh peperangan dengan Iran.
"Pentadbiran ini telah menyusutkan pertahanan peluru berpandu kita, mengeringkan rizab minyak kita, mengorbankan lelaki dan wanita kita, melambungkan harga barangan pengguna, meningkatkan hutang kita, dan mengabaikan keperluan domestik kita... semuanya demi Israel," tegas Massie.
The U.S. has been significantly weakened by the war with Iran.
This administration depleted our missile defenses, drained our oil reserves, sacrificed our men & women, inflated the price of consumer goods, increased our debt, and neglected our domestic needs…
all for Israel.— Thomas Massie (@RepThomasMassie) July 26, 2026
Beliau mendakwa konflik tersebut kini menelan kos kira-kira AS$1 bilion sehari kepada pembayar cukai AS, selain memberi kesan kepada ekonomi domestik termasuk peningkatan harga bahan api dalam tempoh singkat.
Kenyataan itu mencerminkan suara penentangan yang semakin ketara dalam kalangan sebahagian ahli politik AS terhadap penglibatan ketenteraan negara itu di Timur Tengah.
Massie sebelum ini merupakan antara penggerak usaha mengehadkan tindakan ketenteraan tanpa kelulusan Kongres menerusi Resolusi Kuasa Perang (War Powers Resolution), yang mendapat sokongan dwipartisan.
Beliau turut menuduh Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth melanggar undang-undang dengan melaksanakan tindakan ketenteraan tanpa mandat rasmi Kongres.
Setakat ini, pentadbiran Donald Trump masih belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi berhubung dakwaan yang dibangkitkan oleh Massie berkenaan kesan konflik tersebut terhadap keupayaan pertahanan dan ekonomi domestik AS.