Skip to main content

Dunia

Taufan Maysak cetus banjir besar, puting beliung di China

In this photo released by Xinhua News Agency, a tourist couple brace themselves against strong wind and rain at Tanmen central fishing port in Qionghai, south China's Hainan Province on Friday, July 3, 2026, as a severe weather system was affecting the area. (Pu Xiaoxu/Xinhua via AP)
Sepasang pelancong meredah angin kencang dan hujan di Pelabuhan Perikanan Tanmen, Qionghai, Wilayah Hainan, selatan China, ketika sistem cuaca buruk melanda kawasan itu. - Foto AP

BEIJING: Hujan lebat akibat Taufan Maysak mencetuskan banjir besar di selatan China, memaksa puluhan ribu penduduk berpindah dan menyebabkan sekurang-kurangnya empat kematian di wilayah Guangxi.

Di kampung Renhe, air naik dengan pantas sejak Ahad malam sebelum menenggelamkan tingkat bawah rumah penduduk menjelang subuh Isnin.

“Banjir berlaku terlalu cepat. Penduduk tidak sempat membawa makanan ketika menyelamatkan diri,” kata seorang penduduk bermarga Zhou kepada BBC.

Pihak berkuasa menganggarkan kira-kira 60,000 orang telah dipindahkan, manakala sekurang-kurangnya 90,000 terjejas akibat banjir itu.

Bandar Nanning dan kawasan sekitarnya turut dinaiki air, dengan beberapa penduduk dilaporkan menunggu bantuan di atas bumbung rumah.

Di wilayah Hubei pula, ribut petir dan sekurang-kurangnya dua puting beliung luar biasa dilaporkan berlaku, menyebabkan 11 kematian serta merosakkan ribuan kediaman.

Ahli meteorologi berkata puting beliung itu terbentuk apabila udara sejuk dari utara bertembung dengan udara panas yang dibawa Taufan Maysak dari selatan.

Puting beliung jarang berlaku di wilayah itu, dengan kejadian terakhir direkodkan pada 2021, menurut media kerajaan.

Rakaman di media sosial China menunjukkan angin kencang menerbangkan meja, kerusi dan serpihan bangunan di beberapa bandar termasuk Ezhou dan Huanggang.

Seorang pelajar di Huanggang memberitahu BBC beliau pada awalnya menyangka ia hanya ribut petir biasa sebelum melihat objek mula berterbangan di luar tingkap asrama.

Presiden China, Xi Jinping, mengarahkan operasi menyelamat dan bantuan dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk merawat mangsa cedera, menempatkan semula penduduk terjejas dan memperkukuh kerja bantuan bencana.

Media kerajaan turut menyiarkan rakaman anggota penyelamat menggunakan bot getah untuk memindahkan penduduk.

Bagaimanapun, operasi menyelamat di beberapa kawasan masih berdepan kesukaran berikutan paras air yang tinggi, gangguan bekalan elektrik dan terputusnya rangkaian komunikasi.

Pihak berkuasa Nanning memberi amaran hujan amat lebat masih boleh mengganggu operasi menyelamat.

Selain Maysak, satu lagi ribut kuat, Taufan Super Bavi, dilaporkan sedang bergerak merentasi Lautan Pasifik dan dijangka menuju ke pantai timur China minggu ini.
 

 

Must Watch Video

Advertisement