Skip to main content

Teknologi

Microsoft dilapor uji model AI sendiri pada perisian pejabat, kurangkan kebergantungan OpenAI

81726184062_Microsoftoffices.jpg
Microsoft telah mula menguji penggunaan model AI miliknya yang dikenali sebagai MAI (Microsoft AI) dalam sebahagian tugasan melibatkan aplikasi produktiviti seperti Excel dan Outlook. -Gambar fail

MICROSOFT dilapor mula mengembangkan penggunaan model kecerdasan buatan (AI) miliknya sendiri sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kebergantungan kepada teknologi yang dibangunkan oleh OpenAI dan Anthropic.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi syarikat untuk memperkukuh keupayaan AI dalaman selain mengawal kos operasi jangka panjang.

Menurut Amanz yang memetik laporan pasaran, Microsoft telah mula menguji penggunaan model AI miliknya yang dikenali sebagai MAI (Microsoft AI) dalam sebahagian tugasan melibatkan aplikasi produktiviti seperti Excel dan Outlook.

Menerusi integrasi tersebut, sebahagian arahan dan pertanyaan pengguna kini dikendalikan oleh model MAI berbanding model pihak ketiga yang digunakan sebelum ini.

Fasa ujian itu membolehkan Microsoft menilai prestasi, kecekapan kos dan kebolehgunaan model berkenaan sebelum diperluaskan kepada lebih banyak perkhidmatan pada masa hadapan.

Pemerhati industri berpendapat langkah itu berpotensi membantu syarikat mengurangkan kos penggunaan model AI luar yang memerlukan pembayaran pelesenan serta penggunaan infrastruktur berasaskan token.

Bagaimanapun, Microsoft dilapor masih mengekalkan kerjasama dengan OpenAI dan Anthropic, dengan model daripada syarikat-syarikat tersebut terus digunakan bagi pelbagai tugasan AI yang lain.

Setakat ini, Microsoft belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung laporan tersebut ketika platform Copilot berdepan persaingan yang semakin sengit dalam pasaran AI generatif.

 

Must Watch Video

Advertisement