Skip to main content

Malaysia

Pembesaran Westports, projek Pelabuhan Pulau Carey pelaburan strategik jangka panjang - Anthony Loke

Kuala Lumpur , 8 Julai 2026.Menteri Pengangkutan , Loke Siew Fook pada sidang media berikutan Majlis Perasmian ASEAN Ports and Logistics 2026 Hotel Sofitel Kuala Lumpur Damansara.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Anthony berkata antara langkah strategik yang sedang dilaksanakan termasuklah pembesaran Fasa 2 Westports dan cadangan projek Pelabuhan Pulau Carey yang dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang kritikal. - Astro AWANI/ Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempergiat usaha memperkukuh infrastruktur pelabuhan dan rel negara bagi mendepani pertumbuhan perdagangan masa hadapan, sekali gus memastikan daya tahan rantaian bekalan yang lebih mampan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata antara langkah strategik yang sedang dilaksanakan termasuklah pembesaran Fasa 2 Westports dan cadangan projek Pelabuhan Pulau Carey yang dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang kritikal.

Beliau menjelaskan bahawa pembangunan tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan kapasiti bagi menampung generasi perdagangan maritim akan datang, malah mengintegrasikan teknologi pintar dan hijau bagi mencapai kecekapan serta kelestarian yang lebih tinggi.

"Langkah-langkah ini penting untuk memastikan Malaysia mempunyai kapasiti mencukupi bagi mengendalikan jumlah perdagangan yang semakin meningkat di samping mengurangkan kesan karbon dalam industri logistik," katanya semasa berucap di majlis perasmian Asean Ports and Logistics 2026 di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut mengenai usaha memperkasakan sektor logistik, Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) juga sedang giat menambah baik infrastruktur rel sedia ada bagi menggalakkan peralihan mod pengangkutan kargo domestik dan rentas sempadan daripada jalan raya kepada rel.

Menurutnya, peralihan itu bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselamatan jalan raya, malah menjadi pemacu utama kepada pengurangan pelepasan karbon dalam industri logistik.

Dalam pada itu, Loke turut menarik perhatian mengenai pembukaan semula Pelabuhan Darat Segamat dua minggu lalu, yang disifatkannya sebagai hab kargo rel yang mempunyai potensi besar untuk memacu ekonomi di wilayah Johor Utara.

Jelas beliau, walaupun pelabuhan darat itu dibangunkan oleh Lembaga Pelabuhan Klang kira-kira 30 tahun lalu, namun sebelum ini gagal beroperasi secara optimum ekoran kurangnya penyelarasan dan keyakinan dalam kalangan pemain logistik.

"Namun, dengan siapnya projek landasan berkembar antara Gemas dan Johor Bahru baru-baru ini, serta pengenalan lokomotif baharu dan wagon kargo berkapasiti tinggi, kemudahan ini kini bersedia untuk membawa perubahan positif.

"Ditambah dengan strategi pemasaran yang disasarkan oleh pengendali baharu, kami yakin Pelabuhan Darat Segamat akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri logistik dan ekonomi di kawasan sekitar," tambahnya.

Beliau menegaskan bahawa integrasi antara pelabuhan yang cekap dan rangkaian rel yang mantap adalah kunci untuk menjadikan Malaysia sebagai hab logistik utama di rantau ASEAN.

 

 

Must Watch Video

Advertisement