Skip to main content

Malaysia

Agensi berkaitan diarah segera selesai isu komuniti nelayan - Ab Rauf

Ab Rauf Yusoh
Ab Rauf berkata beliau telah meninjau perkembangan projek balai nelayan baharu dan mendengar pelbagai isu yang dibangkitkan penduduk serta komuniti nelayan di situ bagi memastikan setiap permasalahan diselesaikan secara berkesan. - Gambar Facebook Ab Rauf Yusoh

ALOR GAJAH: Kerajaan Negeri Melaka mengarahkan beberapa agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera terhadap beberapa isu melibatkan komuniti nelayan di Pasir Gembur, Tanjung Bidara. 

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata beliau telah meninjau perkembangan projek balai nelayan baharu dan mendengar pelbagai isu yang dibangkitkan penduduk serta komuniti nelayan di situ bagi memastikan setiap permasalahan diselesaikan secara berkesan.

Beliau berkata bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar, pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan turut dipanggil untuk membentangkan status semasa projek dan menyelaras tindakan susulan bagi kepentingan komuniti nelayan di situ.

“Kerajaan negeri turut menetapkan tiada lagi binaan persendirian atau swasta dibenarkan di kawasan struktur penahan ombak di pesisir pantai.

“Semua binaan dalam kawasan rizab pantai hendaklah mendapat Lesen Pendudukan Sementara (LPS) daripada pentadbir tanah serta ulasan jabatan teknikal berkaitan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini. 

Ab Rauf berkata antara keputusan yang dipersetujui ialah JPS Melaka diarahkan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan bagi kerja mendalamkan laluan keluar masuk bot nelayan dari Pasir Gembur hingga Batu Tenggek. 

Selain itu, JKR diminta menyediakan tapak balai nelayan baharu pada aras yang lebih sesuai bagi mengurangkan risiko limpahan air laut dan banjir ketika fenomena air pasang besar.

Ab Rauf berkata slogan ”Melaka Sayang Rakyat” menjadi komitmen yang diterjemahkan melalui tindakan, penyelesaian dan keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement