Skip to main content

Malaysia

Legasi hadis rangka tindakan perangi salah makumat - KP IKIM

TASHKENT, 8 Julai (Bernama) Warisan keilmuan Imam al-Bukhari dan Imam al-Tirmidhi yang masih bertahan menawarkan dunia Islam rangka kerja untuk memerangi maklumat salah, mengukuhkan pengetahuan etika dan membina semula kepercayaan dalam era penyelewengan digital, kata seorang sarjana Islam.
Mohamed Azam pada sesi bertajuk Potensi Intelektual dalam Tamadun Islam: Model Sejarah dan Tafsiran Kontemporari di Tashkent. - Gambar Bernama

TASHKENT: Warisan keilmuan Imam al-Bukhari dan Imam al-Tirmidhi yang masih bertahan menawarkan dunia Islam rangka kerja untuk memerangi maklumat salah, mengukuhkan pengetahuan etika dan membina semula kepercayaan dalam era penyelewengan digital, kata seorang sarjana Islam.

Bercakap pada sesi pleno di Forum Tamadun Islam Antarabangsa Pertama, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, ilmu hadis lebih daripada sekadar disiplin memelihara tradisi kenabian.

Beliau berkata, metodologi yang dibangunkan oleh dua ulama terkenal dari Uzbekistan masa kini mewujudkan sistem intelektual yang ketat berpaksikan pengesahan, kredibiliti sumber, penaakulan undang-undang dan tanggungjawab moral, menjadikannya sangat relevan dengan cabaran kontemporari yang ditimbulkan oleh maklumat palsu dan penyelewengan agama.

"Semangat keilmuan hadis amat diperlukan: sahkan sebelum berkongsi, semak sebelum percaya, faham sebelum menilai dan bercakap dengan adab sebelum membuat lafaz," katanya pada sesi bertajuk Potensi Intelektual dalam Tamadun Islam: Model Sejarah dan Tafsiran Kontemporari.

Mohamed Azam berkata, sumbangan Imam al-Bukhari melangkaui penyusunan hadis sahih kerana karya belliau memupuk budaya intelektual iaitu autoriti diperoleh daripada kebenaran, kebolehpercayaan dan bukti berbanding kemasyhuran, pengaruh politik atau emosi.

Beliau berkata, Imam al-Tirmidhi melengkapkan tradisi itu dengan mengintegrasikan penyampaian hadis dengan penilaian ilmiah dan perbincangan perundangan, mewujudkan pendekatan seimbang yang menghubungkan ajaran kenabian dengan aplikasi undang-undang dan sosial yang praktikal.

Menurut Mohamed Azam, disiplin riwayah dan dirayah kekal menjadi model berharga untuk mempromosikan etika maklumat, pemikiran kritis dan komunikasi yang bertanggungjawab dalam landskap media yang semakin kompleks hari ini.

Dalam pengajian hadis, riwayah merujuk kepada ilmu yang berkaitan dengan pengumpulan, pemeliharaan dan penyampaian hadits persis seperti yang diriwayatkan manakala dirayah ialah ilmu yang menilai dan menafsirkan hadis dengan meneliti kesahihan, makna dan aplikasinya.

Beliau juga mengambil pengajaran daripada penggunaan teknologi percetakan yang ditangguhkan oleh Empayar Uthmaniyyah, mengatakan tamadun yang memiliki pengetahuan tetapi gagal menguasai cara penyebarannya berisiko membenarkan naratif bersaing menguasai wacana awam.

Justeru, menurut beliau, dunia Islam perlu melabur dalam platform penyebaran ilmu moden sambil memastikan amalan media kekal berpandukan prinsip ketulenan, ketepatan dan tanggungjawab etika yang terkandung dalam tradisi hadis.

Mohamed Azam mencadangkan untuk mengukuhkan Uzbekistan sebagai pusat pengajian hadis dan tamadun Islam global menerusi kerjasama ilmiah antarabangsa yang lebih besar, pendigitalan manuskrip yang sistematik dan penglibatan generasi muda.

Beliau turut menggesa penubuhan rangkaian penyelidik global dalam riwayah dan dirayah, sambil menggalakkan kesarjanaan Islam menyumbang secara lebih aktif kepada perbincangan antarabangsa mengenai maklumat salah, etika media dan kepercayaan institusi.

Sesi forum itu mengetengahkan sumbangan ketamadunan Imam al-Bukhari dari Bukhara dan Imam al-Tirmidhi dari Termez memandangkan warisan intelektual mereka terus menawarkan panduan praktikal untuk memelihara kebenaran, mempromosikan keilmuan yang bertanggungjawab dan mengukuhkan komunikasi etika dalam dunia moden. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement