SIMPANG RENGGAM: Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berpotensi membentuk kerajaan negeri Johor sekiranya memperoleh sokongan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersatu berkata, gabungan kerusi yang ditandingi PN dan MUDA mampu mencapai majoriti mudah sekiranya berjaya memenangi sekurang-kurangnya 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita ada kerjasama. Dalam Perikatan Nasional sendiri, kita bertanding 33 kerusi.
“MUDA juga bertanding sejumlah kerusi. Kalau gabungkan Perikatan Nasional dengan MUDA, kalau ditakdirkan ada sokongan rakyat yang positif dan besar, kita sudah boleh bentuk kerajaan, sebab untuk negeri Johor, kita memerlukan 29 kerusi untuk membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Chokro, di sini, pada Rabu.
PN bertanding di 33 kerusi pada PRN Johor kali ini, manakala MUDA pula meletakkan 4 calon.
Sebanyak 56 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN Johor, dengan 29 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri melalui majoriti mudah.
Mengulas peluang mengenai peluang Bersatu dalam PRN Johor kali ini, Azmin berkata, parti itu menyasarkan kemenangan di semua 16 kerusi yang ditandinginya.
Beliau berkata, keputusan bertanding di 16 kerusi dibuat berdasarkan strategi dan penilaian terhadap prestasi pilihan raya sebelum ini.
“Kita bertanding 16 kerusi dan kita harap boleh menang semua 16 kerusi itu.
“Kita tidak gelojoh atau tamak untuk bertanding banyak kerusi. Apabila menentukan jumlah kerusi, mestilah ada strategi,” katanya.
Menurut Azmin, Bersatu melihat 16 kerusi berkenaan sebagai kawasan yang berpotensi melonjakkan sokongan kepada parti itu, berdasarkan penilaian terhadap keputusan PRN Johor 2022 serta Pilihan Raya Umum (PRU).
“Kita merasakan 16 kerusi ini antara kerusi yang dapat melonjakkan sokongan kepada Bersatu berdasarkan statistik bukan sahaja PRN 2022 yang lalu, tetapi kita juga bandingkan dengan PRU,” katanya.