Skip to main content

Malaysia

Pelabuhan Klang catat 15.14 juta TEU, kekal antara 10 pelabuhan tersibuk dunia - Anthony Loke

Kuala Lumpur , 8 Julai 2026.Menteri Pengangkutan , Loke Siew Fook menyampaikan ucapan berikutan Majlis Perasmian ASEAN Ports and Logistics 2026 Hotel Sofitel Kuala Lumpur Damansara.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Anthony berkata selain Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi terminal kontena tunggal pertama di Malaysia yang melepasi paras 14 juta TEU dengan mengendalikan 14.03 juta TEU. - Astro AWANI/ Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Pelabuhan Klang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara 10 pelabuhan kontena tersibuk di dunia untuk tahun kedua berturut-turut selepas merekodkan pencapaian bersejarah dengan mengendalikan 15.14 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata selain Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi terminal kontena tunggal pertama di Malaysia yang melepasi paras 14 juta TEU dengan mengendalikan 14.03 juta TEU.

Beliau berkata secara keseluruhan, pelabuhan negara mencatatkan jumlah pengendalian sebanyak 33.07 juta TEU bagi tahun lalu.

“Trend pertumbuhan positif ini berterusan sehingga tahun ini. Bagi tempoh sehingga Mei 2026, Pelabuhan Klang mencatatkan pertumbuhan volum sebanyak lima peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025, manakala PTP menunjukkan pertumbuhan sebanyak lapan peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Asean Ports and Logistics 2026 di sini, hari ini.

Menurut Loke, pencapaian luar biasa itu bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya ia adalah hasil pelaburan jangka panjang dalam infrastruktur serta pelaksanaan dasar pengangkutan yang progresif.

Beliau turut memuji kerjasama erat antara kerajaan, pihak berkuasa pelabuhan, operator terminal, syarikat perkapalan serta pemegang taruh dalam industri logistik yang menjadi tunjang kepada kejayaan tersebut.

"Memandangkan lebih 90 peratus daripada perdagangan antarabangsa Malaysia diangkut melalui laut, pelabuhan kita merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi dan ketersambungan serantau yang amat penting serta tidak boleh diabaikan," jelas beliau.

Dalam pada itu, Loke menegaskan bahawa Malaysia kekal komited sepenuhnya dalam memastikan Selat Melaka, yang merupakan antara laluan perkapalan tersibuk di dunia, kekal selamat dan terbuka untuk navigasi global.

"Terletak secara strategik di sepanjang Selat Melaka, Malaysia akan terus memikul tanggungjawab untuk memastikan laluan air antarabangsa yang penting ini terus terjamin demi kelancaran perdagangan dunia," tambah beliau.

 

 

Must Watch Video

Advertisement