Skip to main content

Dunia

Tentera Laut Pakistan temukan bangkai pesawat kargo hilang di perairan Gwadar

The wreckage of the K2 Airways Boeing 737 cargo plane that crashed in the Arabian Sea, found and retrieved by Pakistani rescuers, according to Pakistan Airports Authority, in this handout image released on July 8, 2026. Pakistan Airports Authority via Facebook/Handout via REUTERS
Bangkai pesawat kargo Boeing 737 milik K2 Airways yang terhempas di Laut Arab ditemukan dan dibawa keluar oleh pasukan penyelamat Pakistan. - Foto REUTERS

ISLAMABAD: Tentera Laut Pakistan pada Rabu menemukan bangkai pesawat kargo Boeing 737 milik K2 Airways yang dilaporkan hilang di Laut Arab selepas operasi mencari dan menyelamat selama 12 jam, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Pakistan (PAA), lapor Xinhua.

Menurut kenyataan itu, bangkai pesawat ditemukan kira-kira 53 batu nautika di selatan Ormara, sebuah bandar pesisir pantai di daerah Gwadar, wilayah Balochistan di barat daya Pakistan.

Operasi itu melibatkan aset udara dan laut milik Tentera Laut Pakistan serta Agensi Keselamatan Maritim Pakistan.

PAA memaklumkan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan lima kru yang masih hilang manakala maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan operasi.

Pesawat kargo itu, yang dalam penerbangan dari Sharjah ke bandar pelabuhan Karachi di selatan Pakistan, dilaporkan hilang pada malam Selasa selepas melaporkan kerosakan pada sistem navigasi, menurut PAA.

Dalam kenyataan terdahulu, PAA memaklumkan pesawat itu sedang dipandu oleh Pusat Kawalan Kawasan Karachi sebelum ia tiba-tiba menjunam, mengubah haluan secara mendadak dan hilang daripada pengesanan radar serta terputus hubungan radio kira-kira 155 batu nautika di barat Karachi.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement