Skip to main content

Dunia

Syria, Perancis setuju lantik duta masing-masing selepas 14 tahun

Title: Syria France Explosions Image ID: 26188522109713 Article:  French President Emmanuel Macron, left, listens to Syrian President Ahmad al-Sharaa during a joint press conference at the presidential palace in Damascus, Syria, Tuesday, July 7, 2026. (AP Photo/Ghaith Alsayed)
Sharaa menyifatkan lawatan Macron sebagai “detik bersejarah” yang menjadi kemuncak kepada tempoh kerjasama secara senyap tetapi mendalam antara kedua-dua negara. - Foto AP

ISTANBUL: Syria dan Perancis pada Selasa bersetuju menempatkan semula duta masing-masing selepas hubungan diplomatik terhenti selama 14 tahun, kata Presiden Syria Ahmad al-Sharaa pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron di Damsyik.

Ketika berucap di Istana Presiden, Sharaa menyifatkan lawatan Macron sebagai “detik bersejarah” yang menjadi kemuncak kepada tempoh kerjasama secara senyap tetapi mendalam antara kedua-dua negara, lapor Anadolu Ajansi.

“Ini merupakan lawatan pertama seorang presiden Perancis dalam tempoh 18 tahun. 

“Kami mengumumkan persetujuan untuk saling bertukar duta antara Damsyik dan Paris,” kata Sharaa.

Perancis menutup kedutaannya di Damsyik pada Mac 2012 ketika pentadbiran Presiden Nicolas Sarkozy susulan tindakan keras terhadap protes oleh rejim Bashar al-Assad yang kemudian digulingkan ketika kebangkitan rakyat Syria.

Penutupan itu berlaku ketika beberapa kerajaan Barat menurunkan taraf atau menggantung hubungan diplomatik dengan Damsyik susulan tindakan keras yang semakin memuncak dan keadaan keselamatan yang kian merosot di Syria.

Macron menyambut baik keputusan kedua-dua pihak untuk melantik duta, yang akan memainkan peranan dalam era baharu hubungan kedua-dua negara dan bekerjasama sambil mempertahankan kepentingan masing-masing.

Beliau menegaskan semula kerjasama dengan Syria dalam bidang keselamatan menerusi pengukuhan keupayaan, penyediaan latihan dan pelaksanaan operasi memerangi keganasan bersama kerajaan negara itu.

Macron turut berkata Perancis akan menyediakan bantuan bagi memulihkan institusi kewangan serta menyokong pembiayaan pembangunan semula.

Beliau juga mengesahkan bahawa Perancis dan Syria menandatangani deklarasi hasrat berhubung pemulangan aset di Perancis yang didakwa dirampas secara haram oleh Rifaat al-Assad, bapa saudara kepada bekas pemimpin Syria, Bashar al-Assad.

“Syria oleh itu akan mendapatkan semula lebih €50 juta daripada aset yang disita daripada keluarga bekas diktator itu, yang diperoleh melalui cara tidak sah,” katanya.

Beliau berkata dana berkenaan akan dikembalikan kepada rakyat Syria bagi membiayai projek pembangunan di seluruh negara.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement