Skip to main content

Malaysia

Malaysia rekod ketibaan 17.5 juta pelawat antarabangsa pada Jan-Mei 2026, naik 3.4 peratus 

41768970661_KLIASepang.jpg
Peningkatan kedatangan pelancong itu disokong oleh pasaran ASEAN, China, Jepun, Australia, Taiwan dan Hong Kong, selain beberapa negara Asia Tengah seperti Uzbekistan, Kazakhstan dan Turkmenistan. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan ketibaan 17.5 juta pelawat antarabangsa dalam tempoh Januari hingga Mei, meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya didorong oleh permintaan kukuh daripada pasaran utama walaupun berdepan cabaran geopolitik global.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata peningkatan kedatangan pelancong itu disokong oleh pasaran ASEAN, China, Jepun, Australia, Taiwan dan Hong Kong, selain beberapa negara Asia Tengah seperti Uzbekistan, Kazakhstan dan Turkmenistan.

“Jika tidak berlaku peperangan di Asia Barat, kita sebenarnya boleh menyasarkan pertumbuhan yang lebih tinggi. 

"Namun, peningkatan 3.4 peratus ini menunjukkan industri pelancongan negara masih kekal berdaya tahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian Memorandum Kolaborasi (MoC) antara Tourism Malaysia dan Tripadvisor, di sini, hari ini.

MoC itu dimeterai oleh Mohd Amirul Rizal dan Pengarah Enterprise Sales Asia Pasifik (APAC) Tripadvisor Scott Wegener bagi memperkukuh kerjasama strategik kedua-dua pihak dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menerusi kerjasama selama dua tahun sehingga penghujung 2027 itu, Tourism Malaysia akan memperoleh akses kepada data prestasi dan cerapan perjalanan Tripadvisor bagi memperkukuh perancangan serta strategi pemasaran pelancongan berasaskan data, selain meneroka kempen penjenamaan bersama, inovasi digital dan program mengiktiraf kecemerlangan industri pelancongan negara.

Kerjasama itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh penggunaan digital dalam kalangan pemain industri pelancongan tempatan melalui penambahbaikan kandungan destinasi dan penyenaraian produk pelancongan bagi meningkatkan keterlihatannya kepada pelancong antarabangsa.

Sementara itu, Mohd Amirul Rizal  berkata Tourism Malaysia turut mengubah strategi pemasarannya dengan memberi tumpuan kepada pasaran serantau dan yang berpotensi tinggi seperti China, Jepun, Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan, selain terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagi membuka laluan baharu ke Malaysia.

"Malah di peringkat domestik juga, kita sekarang ini terus mempergiatkan produk pelancongan dengan menukar kandungan pakej untuk memastikan produk kita mampu menarik pelancong untuk melancong di dalam negara," katanya.

Pada majlis hari ini, Malaysia turut menerima tiga pengiktirafan dalam anugerah Tripadvisor Travellers’ Choice Best of the Best Awards 2026 apabila Kuala Lumpur tersenarai antara destinasi makanan terbaik di Asia, Menara Berkembar Petronas diiktiraf sebagai antara tarikan pelancongan terbaik di Asia, manakala Pantai Cenang, Langkawi disenaraikan antara pantai terbaik di Asia.

Mohd Amirul Rizal berkata pengiktirafan itu mencerminkan daya saing produk pelancongan negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa ketika TMM2026 berlangsung.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement