Skip to main content

Malaysia

Jurujual dipenjara 10 tahun, dua sebatan tetak penunggang motosikal

SHAH ALAM - Hanya kerana dibunyikan hon, tindakan ganas seorang pembuli jalanan menetak penunggang motosikal dengan pisau potong daging di Lebuhraya Persekutuan, bulan lalu, mengundang padah apabila dia dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Hakim ‘Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid menjatuhkan hukuman itu terhadap Azmi Jantan (foto) dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 11 Jun lepas. -Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Seorang jurujual dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang penunggang motosikal menggunakan sebilah pisau pemotong daging dalam kejadian di Lebuhraya Persekutuan, bulan lepas.

Hakim ‘Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid menjatuhkan hukuman itu terhadap Azmi Jantan, 42, dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 11 Jun lepas. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap penunggang motosikal itu menggunakan sebilah pisau pemotong daging, iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian, di kilometer (KM) 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, kira-kira 8.19 pagi pada 11 Jun.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat perkhidmatan pos dan kurier sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur, telah memberhentikan motosikalnya di lorong motosikal lebuh raya itu sebelum didatangi tertuduh yang kemudian menetaknya.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang bahu, tulang tangan kiri, tulang jari kiri, pergelangan tangan kiri selain cedera di kepala dan lengan kiri.

Terdahulu, Azmi yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin memohon hukuman berat dengan mengambil kira kecederaan serius yang dialami mangsa.

“Senjata yang digunakan ialah sebilah pisau pemotong daging, iaitu senjata tajam yang boleh membawa maut dan OKT (orang kena tuduh) bernasib baik kerana mangsa dalam kes ini tidak meninggal dunia.

“Mengambil kira faktor kepentingan awam yang kes ini berpunca daripada perkara remeh sahaja, iaitu isu membunyikan hon di lebuh raya, perbuatan ini boleh mencetuskan ketakutan kepada pengguna jalan raya lain, serta sebagai pengajaran kepada masyarakat bagi membendung kes buli jalanan dan amukan melampau di jalan raya,” kata Amir Saifullah. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement