Skip to main content

Dunia

Suruhanjaya Eropah kenakan denda €550 juta ke atas AliExpress

81758799958_European.jpg
Menurut Suruhanjaya Eropah, AliExpress didapati gagal mengeluarkan barangan seperti pakaian tiruan, permainan kanak-kanak yang tidak selamat dan produk kosmetik berbahaya daripada platformnya. - Gambar fail

BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah pada Isnin mengenakan denda sebanyak €550 juta (AS$628.7 juta) terhadap platform jualan dalam talian China, AliExpress, kerana menjual barangan yang menyalahi undang-undang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Suruhanjaya itu mendapati gergasi peruncitan dalam talian milik Alibaba Group berkenaan gagal mengeluarkan barangan seperti pakaian tiruan, permainan kanak-kanak yang tidak selamat dan produk kosmetik berbahaya daripada platformnya selama beberapa minggu.

Suruhanjaya itu turut memaklumkan bahawa syarikat berkenaan tidak mengambil langkah mencukupi untuk melindungi pengguna di Kesatuan Eropah (EU) daripada produk sedemikian.

"Penyebaran pakaian tiruan, permainan kanak-kanak yang tidak selamat, produk kosmetik berbahaya serta barangan lain yang menyalahi undang-undang dan memudaratkan bukan sesuatu yang tidak dapat dielakkan apabila membeli-belah dalam talian. Sebaliknya, ia berpunca daripada kegagalan AliExpress mematuhi tanggungjawabnya di bawah Akta Perkhidmatan Digital," kata Naib Presiden Suruhanjaya Eropah Henna Virkkunen.

Menurut suruhanjaya itu, peniaga yang sepatutnya dikenakan tindakan oleh AliExpress kerana menjual produk haram di platform berkenaan, dalam beberapa kes tidak dikenakan sebarang hukuman dan sering dibenarkan meneruskan perniagaan mereka.

Gergasi dalam talian itu juga didakwa tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menyemak produk yang berpotensi menyalahi undang-undang. Pemeriksa pula terpaksa menanggung beban kerja yang berlebihan, menurut suruhanjaya itu.

Produk haram turut disyorkan atau dipromosikan sebelum AliExpress mengeluarkannya daripada platform.

Ujian yang dijalankan pengawal selia di Brussels menunjukkan bahawa walaupun syarikat itu melaksanakan usaha pemantauan, sejumlah besar baju-T tiruan, kasut tiruan dan permainan kanak-kanak yang tidak selamat masih berada dalam pasaran.

AliExpress diberi tempoh sehingga 20 Okt untuk mengemukakan pelan tindakan bagi membetulkan pelanggaran yang dikenal pasti.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement