Skip to main content

Dunia

Semua 11 penumpang selamat dalam nahas pesawat di laut Florida

This photo provided by the U.S. Air Force shows rescue operations underway for survivors of a downed civilian aircraft off the coast of Melbourne, Fla., Tuesday, May 12, 2026. (U.S. Air Force/DVIDS via AP)
Foto edaran Tentera Udara AS menunjukkan operasi menyelamat dijalankan terhadap mangsa pesawat awam yang terhempas di perairan berhampiran, Florida. - Foto AP

FLORIDA: Kesemua 11 individu yang menaiki sebuah pesawat persendirian yang terhempas di laut berhampiran Florida, Amerika Syarikat (AS), berjaya diselamatkan dalam keadaan hidup selepas terapung di laut selama beberapa jam, dalam operasi menyelamat yang disifatkan sebagai “keajaiban”.

Menurut pihak Tentera Udara dan Pengawal Pantai AS, pesawat enjin berkembar jenis turboprop itu terhempas di Lautan Atlantik kira-kira 129 kilometer dari Florida, pada Selasa.

Isyarat kecemasan yang diaktifkan selepas nahas berjaya dikesan oleh Pengawal Pantai, mencetuskan operasi mencari dan menyelamat dengan segera.

Sebuah pesawat penyelamat HC-130J Combat King II milik simpanan Tentera Udara AS yang sedang menjalani latihan pada ketika itu segera menyertai operasi.

Komander pesawat berkenaan, Mejar Elizabeth Piowaty, berkata mereka berjaya mengesan rakit penyelamat yang dinaiki mangsa ketika ribut petir menghampiri kawasan tersebut.

Beliau berkata bekalan makanan, air dan alat bantuan apungan tambahan segera digugurkan untuk memastikan mangsa dapat bertahan sehingga bantuan tiba.

Menurut Kapten Tentera Udara, Rory Whipple, mangsa dipercayai telah berada di dalam rakit selama kira-kira lima jam sebelum ditemui.

“Jelas kelihatan mereka berada dalam keadaan tertekan dari segi fizikal, mental dan emosi,” katanya.

Semua mangsa kemudian berjaya dipindahkan menggunakan helikopter penyelamat yang berlegar di lokasi kejadian, sebelum diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne Orlando untuk rawatan lanjut.

Whipple berkata operasi menyelamat itu berjalan dalam keadaan kritikal apabila helikopter hampir kehabisan bahan api.

“Semua 11 mangsa berjaya dinaikkan ke dalam helikopter melalui sembilan kali pengangkatan, dan kami hanya berbaki sekitar lima minit bahan api,” katanya.

Pihak berkuasa Bahamas kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas, namun laporan awal menunjukkan pesawat mungkin mengalami kegagalan enjin.

Pesawat tersebut dilaporkan berlepas dari Marsh Harbour di Bahamas dan dalam perjalanan ke Freeport sebelum terhempas.

Setakat ini, tahap kecederaan mangsa belum diperincikan, tetapi semua individu disahkan selamat.

Pihak berkuasa menyifatkan kejadian ini sebagai satu operasi penyelamatan yang jarang berlaku, dengan semua penumpang berjaya diselamatkan walaupun kemalangan berlaku di laut terbuka.
 

 

Must Watch Video