Skip to main content

Dunia

'Saya berundur dengan senyuman' - Ucapan terakhir Starmer sebagai PM Britain

British Prime Minister Keir Starmer delivers a statement outside 10 Downing Street before resigning and transferring power to new Labour Party leader Andy Burnham, in London, Britain, July 20, 2026. REUTERS/Isabel Infantes
Starmer menyifatkan pengalaman paling bermakna sepanjang memegang jawatan itu ialah peluang menyaksikan sendiri semangat, ketabahan, kesopanan dan belas ihsan rakyat Britain. - Reuters

LONDON: "Saya berundur dengan hati yang terbuka, dengan senyuman, dan dengan penuh rasa bangga terhadap segala yang telah kita capai bersama," kata Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, dalam ucapan perpisahannya hari ini.

Berucap di luar 10 Downing Street, Starmer berkata tugasnya sebagai Perdana Menteri telah selesai dan beliau akan menghadap Raja Charles III untuk menyerahkan peletakan jawatan secara rasmi.

Beliau berkata, sepanjang enam tahun setengah menerajui Parti Buruh, parti itu berjaya bangkit daripada kekalahan bersejarah pada 2019 sebelum memenangi Pilihan Raya Umum 2024.

Menurut Starmer, peluang berkhidmat sebagai Perdana Menteri merupakan penghormatan terbesar dalam hidupnya.

"Saya yakin Britain kini lebih kukuh dan lebih adil berbanding dua tahun lalu. Ekonomi kita lebih kukuh. Perkhidmatan awam kita kembali berada di landasan yang betul," katanya.

Tambahnya, sistem pertahanan dan keselamatan Britain kini berada pada kedudukan lebih mantap, selain reputasi negara itu di peringkat antarabangsa semakin meningkat.

Beliau menyifatkan pengalaman paling bermakna sepanjang memegang jawatan itu ialah peluang menyaksikan sendiri semangat, ketabahan, kesopanan dan belas ihsan rakyat Britain.

Menurutnya, sifat itu dapat dilihat dalam kalangan anggota tentera, petugas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) serta jutaan sukarelawan yang berkhidmat dalam komuniti masing-masing.

Starmer turut mengingatkan bahawa Britain kini berdepan ancaman daripada pihak yang mahu memecahbelahkan rakyat kerana nilai, kebebasan dan pendirian negara itu.

Beliau berkata, rakyat Britain perlu terus bersatu dan yakin bahawa negara itu mampu berubah menjadi lebih baik tanpa tunduk kepada perpecahan.

"Kini kita berdepan dunia yang menyaksikan musuh-musuh kita sanggup melakukan apa sahaja untuk memecahbelahkan kita. Mereka menyerang kerana nilai-nilai yang kita pegang, kebebasan yang kita pertahankan dan sifat kemanusiaan yang kita miliki," katanya.

Pada masa sama, Starmer menyatakan sokongan penuh kepada Andy Burnham yang bakal mengambil alih kepimpinan negara.

"Saya menyerahkan baton kepada Andy Burnham dan saya mendoakan beliau mencapai segala kejayaan. Beliau mendapat sokongan penuh daripada saya," katanya lagi.

Mengakhiri ucapannya, Starmer mengucapkan terima kasih kepada keluarga, pasukan pentadbiran, Parti Buruh, kakitangan di pejabatnya, anggota perkhidmatan awam serta rakyat Britain atas peluang yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat.

Beliau berkata segala perubahan yang dicapai sepanjang pentadbirannya adalah hasil usaha bersama dan bukan kejayaan individu semata-mata.

Selepas menyerahkan peletakan jawatan kepada Raja Charles III, Burnham dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu sebelum membentuk kerajaan.

Must Watch Video

Advertisement