MANILA: Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pada Rabu berkata Moscow menyokong kepusatan ASEAN dalam hal ehwal serantau, lapor Anadolu Ajansi.
Lavrov berkata demikian ketika menghadiri Pasca Persidangan Menteri-Menteri ASEAN-Rusia di Manila, Filipina. Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Theresa P. Lazaro dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
"Rusia amat yakin bahawa ASEAN ialah rakan kongsi yang boleh dipercayai dan sehaluan," katanya pada persidangan itu sambil menambah bahawa Moscow secara konsisten menyokong kepusatan ASEAN dalam hal ehwal serantau serta menyumbang kepada usaha memperkukuh sistem hubungan antara negara yang diterajui Asia berasaskan undang-undang antarabangsa, keterbukaan dan kesaksamaan.
Beliau berkata persefahaman bersama mengenai proses antarabangsa yang ditegaskan semula di Kazan, Rusia, yang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Rusia-ASEAN pada Jun, selain komitmen pemimpin untuk mewujudkan orde dunia multipolar yang lebih adil dan berdaya tahan, memperkukuh seni bina keselamatan yang seimbang di Asia Pasifik serta meningkatkan kerjasama menyeluruh di Eurasia Raya akan memberikan sokongan kukuh kepada usaha bersama.
"Para pemimpin negara kita mencapai persetujuan penting dalam bidang politik dan keselamatan, menangani ancaman serta cabaran baharu, selain membangunkan hubungan perdagangan, ekonomi, pelaburan, kebudayaan, pendidikan dan kemanusiaan," kata Lavrov.
Beliau berkata Moscow melihat prospek yang memberangsangkan dalam aspek keselamatan makanan dan tenaga serta transformasi digital selain beberapa bidang lain, serta empat dokumen utama yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak Rusia-ASEAN di Kazan menyediakan garis panduan yang jelas bagi kerjasama bersama dalam semua bidang berkenaan.
Lavrov tiba di Manila pada Selasa untuk lawatan selama tiga hari yang turut merangkumi penyertaan beliau dalam Pasca Persidangan Menteri-Menteri ASEAN-Rusia, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Forum Serantau ASEAN (ARF).
Selepas Pasca Persidangan Menteri-Menteri ASEAN-Rusia itu, Lavrov turut mengadakan pertemuan berasingan dengan rakan sejawatnya dari India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka bagi membincangkan kerjasama dua hala serta beberapa isu lain, menurut kenyataan berasingan Kementerian Luar Rusia.
Lavrov dan Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar turut meneliti hubungan dua hala serta menegaskan semula komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, tenaga, kesalinghubungan dan bidang strategik lain, di samping meningkatkan penyelarasan di forum pelbagai hala, menurut kenyataan Islamabad.
-- BERNAMA-ANADOLU