SINGAPURA: Menteri-menteri Pendidikan ASEAN pada Rabu melancarkan Pelan Kerja Lima Tahun Pendidikan 2026-2030 yang menggariskan keutamaan bersama rantau ini untuk membina sistem pendidikan yang inklusif, komprehensif dan transformatif.
Pelan lima tahun itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan individu yang seimbang dan berdaya tahan, di samping melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta berdaya saing, selain memupuk identiti ASEAN yang berteraskan nilai-nilai bersama.
Menteri Pendidikan Singapura Desmond Lee berkata pelan kerja itu mencerminkan komitmen bersama rantau ini untuk membina sistem pendidikan yang responsif terhadap perkembangan global dan teknologi.
Ia juga bertujuan memastikan akses saksama kepada pendidikan berkualiti, menggalakkan kesejahteraan pelajar serta memperkukuh kerjasama serantau.
Beliau mencadangkan tiga bidang utama perbincangan bagi membentuk sistem pendidikan di rantau ini, iaitu kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta pembangunan holistik.
"Menerusi Pelan Kerja Lima Tahun Pendidikan ASEAN serta tumpuan kita terhadap AI dalam pendidikan, STEM serta pembangunan holistik, kita sedang mengambil langkah-langkah praktikal untuk mempersiapkan rakyat kita menghadapi masa depan, di samping mengukuhkan ikatan sesama kita.
"Singapura akan melakukan yang terbaik untuk membina di atas asas yang telah diletakkan oleh pengerusi-pengerusi terdahulu serta memajukan aspirasi bersama kita bagi pendidikan ASEAN," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN Ke-14 (ASED) dan mesyuarat berkaitan di sini pada Rabu.
Mesyuarat itu dianjurkan Singapura selaku Pengerusi Sektor Pendidikan ASEAN bagi tempoh 2026-2027.
Bertemakan "Strengthening ASEAN through Education", ASED Ke-14 dihadiri menteri-menteri pendidikan ASEAN, termasuk Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN, San Lwin.
Di bawah kepengerusiannya, Pusat Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan Singapura akan menerajui rangkaian penyelidikan serantau yang bertujuan memajukan pendekatan bersama terhadap pendidikan nilai dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Pusat itu akan menyediakan platform bagi negara anggota ASEAN untuk berkongsi bagaimana pendidikan nilai dirangka dan dilaksanakan dalam kurikulum kebangsaan masing-masing.
-- BERNAMA