Skip to main content

Dunia

Rundingan damai: Delegasi AS, Iran tangguh perjalanan ke Switzerland - Laporan

U.S. Vice President JD Vance delivers remarks during an event at Gold Coast Studios on June 17, 2026 in Bethpage, New York. Vance's visit comes after the Justice Department filed a lawsuit this week against New York state officials over alleged Medicaid fraud related to the state’s $10 billion home-care program. Spencer Platt/Pool via REUTERS
White House mengesahkan Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance tidak akan berlepas ke Switzerland malam ini seperti yang sebelum ini dilaporkan media antarabangsa, Al Jazeera. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Delegasi Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan menangguhkan perjalanan ke Switzerland bagi memulakan rundingan yang dijadual berlangsung selama 60 hari.

White House mengesahkan Naib Presiden AS, JD Vance tidak akan berlepas ke Switzerland malam ini seperti yang sebelum ini dilaporkan media antarabangsa, Al Jazeera.

Menurut White House, perancangan bagi rundingan teknikal antara Washington dan Tehran masih belum dimuktamadkan walaupun delegasi AS sentiasa bersedia untuk berlepas pada bila-bila masa.

“Urusan logistik rundingan berkenaan adalah rumit dan sukar dijangka. Buat masa ini, Naib Presiden tidak akan berlepas malam ini.

“Kami akan memaklumkan sebaik sahaja terdapat perkembangan yang lebih jelas mengenai langkah seterusnya,” kata jurucakap White House.

Dalam perkembangan sama, sumber yang dipetik agensi berita Lubnan, Al Mayadeen pada Khamis malam melaporkan, delegasi rundingan Iran turut menangguhkan perjalanan ke Switzerland.

Menurut sumber itu, delegasi berkenaan sebelum ini telah bersedia untuk berlepas bagi memulakan pusingan pertama rundingan yang dijadual berlangsung selama 60 hari.

Langkah itu diambil susulan serangan berterusan rejim Zionis Israel di selatan Lubnan yang didakwa Tehran sebagai faktor penting dalam menentukan hala tuju rundingan.

Serangan tersebut berlaku kurang 24 jam selepas Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memulakan rundingan pada Rabu.

Tehran sebelum ini turut memaklumkan kepada Washington dan pihak pengantara bahawa isu Lubnan kekal menjadi komponen utama dalam rundingan berkenaan.

Semalam, media melaporkan tiga individu terbunuh dalam dua serangan berasingan yang dilancarkan dron tentera rejim Zionis di Kfar Tebnit dan Zabadin di selatan Lubnan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement