ROM: Bandar Raya Rom akan menawarkan tayangan filem percuma di 11 pawagam berhawa dingin sebagai sebahagian daripada pelan bantuan cuaca panas yang diumumkan Datuk Bandar Roberto Gualtieri pada Rabu, ketika sebahagian besar Eropah berdepan musim panas yang semakin terik.
Inisiatif itu, yang dinamakan sempena filem klasik Amerika Syarikat (AS) tahun 1983 Il Grande Freddo (The Big Chill), akan berlangsung dari Khamis hingga 4 Ogos.
Program berkenaan turut meluaskan rangkaian pusat perlindungan iklim sedia ada di ibu negara Itali itu yang merangkumi perpustakaan awam dan muzium.
“Filem-filem menarik termasuk naskhah terbaharu akan ditayangkan,” kata Gualtieri pada sidang media.
Tayangan percuma itu akan berlangsung antara jam 1 petang hingga 6.30 petang setiap hari, dengan kemasukan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat. Filem pertama yang bakal ditayangkan ialah drama komedi Itali 2023, C'è Ancora Domani (There's Still Tomorrow).
Menurut Gualtieri, filem yang berbeza akan ditayangkan setiap hari di kesemua 11 pawagam yang mengambil bahagian.
“Orang ramai boleh meluangkan masa menonton filem dalam suasana yang sejuk dan selesa kerana bukan semua penduduk mempunyai penghawa dingin di rumah,” katanya.
Perkhidmatan cuaca Tentera Udara Itali menjangkakan suhu di Rome mencecah 36 darjah Celsius pada Rabu, sebelum berada pada sekitar 35 darjah Celsius pada Khamis dan Jumaat. - Agensi