SINGAPURA: Menara Kawalan Lapangan Terbang Changi dan Pusat Kawalan Trafik Udara Singapura (SATCC) akan menjalani kerja baik pulih dan naik taraf bagi meningkatkan kapasiti serta menempatkan sistem baharu, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).
Projek berkenaan akan menjadi sebahagian daripada pelan naik taraf bernilai S$4 bilion (S$1=RM3.16) dalam tempoh 15 tahun akan datang ketika Singapura bersiap sedia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perjalanan udara serta memperkukuh kedudukannya sebagai hab udara global.
Pengarah Pengurusan CAAS, Han Kok Juan berkata, agensi itu kekal komited untuk memberikan perkhidmatan kepada semua pengguna ruang udara selain memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, tanpa gangguan dan lebih selamat.
“Kami merancang lebih awal, melabur, menjalinkan kerjasama dan memanfaatkan teknologi bagi memastikan kami mempunyai kapasiti serta keupayaan yang diperlukan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat selain mendapat manfaat daripada pertumbuhan sektor penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut CAAS, sebuah kompleks SATCC baharu akan dibina bagi menampung sistem dan keupayaan yang telah dinaik taraf manakala menara kawalan di lapangan terbang itu akan dinaik taraf dengan sebuah bangunan tambahan baharu yang akan dibina di antara menara tersebut dengan Jewel di lapangan terbang yang sama.
“Bagi memenuhi peningkatan permintaan perjalanan udara, Lapangan Terbang Changi sedang menuju ke arah operasi tiga landasan menjelang akhir dekad ini selepas landasan ketiga berkenaan mula beroperasi untuk kegunaan awam.
“Operasi tiga landasan ini akan meningkatkan kapasiti pengendalian penerbangan Lapangan Terbang Changi serta mempertingkatkan keselamatan dan kecekapan trafik udara di rantau ini,” jelasnya.
Selain itu, CAAS juga akan meningkatkan kira-kira 40 peratus tenaga kerjanya yang kini terdiri daripada 500 pegawai kawalan trafik udara, pertambahan sekitar 700 orang menjelang pertengahan 2030-an.
Langkah ini adalah bagi menampung permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat serta bersiap sedia untuk pembukaan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi, tambahnya.
-- BERNAMA