Skip to main content

Dunia

FA dakwa jurulatih Southampton terlibat skandal 'Spygate'

FILE - Southampton's coach Tonda Eckert reacts during the FA Cup semifinal soccer match between Manchester City and Southampton in Manchester, England, April 25, 2026. (AP Photo/Kin Cheung, File)
Southampton menegaskan fokus mereka kini adalah membuat persiapan menghadapi musim baharu sambil mengekalkan sokongan terhadap Eckert (gambar) dan barisan kejurulatihannya. (Foto AP)

PERSATUAN Bola Sepak England (FA) mendakwa ketua jurulatih Southampton, Tonda Eckert, atas tiga pertuduhan salah laku susulan penglibatannya dalam skandal pengintipan atau 'Spygate' yang menggemparkan saingan Liga Kejuaraan (Championship) musim lalu.

Menurut FA, Eckert didakwa melanggar Peraturan E3.1 kerana didakwa bertindak secara tidak wajar dan mencemarkan imej bola sepak dengan mengarahkan atau membenarkan pemerhatian terhadap sesi latihan kelab lawan.

Dakwaan itu melibatkan pemerhatian sesi latihan Oxford United, Ipswich Town dan Middlesbrough menjelang perlawanan menentang Southampton antara Disember 2025 dan Mei 2026.

Siasatan FA dibuat selepas Southampton disingkirkan daripada aksi play-off Championship pada Mei lalu susulan pengakuan kelab itu bahawa mereka telah mengintip beberapa pasukan lawan sepanjang musim.

Sebuah suruhanjaya disiplin bebas sebelum ini memutuskan bahawa operasi pengintipan berkenaan telah dibenarkan oleh Eckert dan menyifatkannya sebagai rancangan dari peringkat tertinggi pengurusan pasukan.

Selain disingkirkan daripada play-off, Southampton turut dikenakan pemotongan empat mata bagi musim Championship 2026/27.

Eckert diberi tempoh sehingga minggu depan untuk mengemukakan respons terhadap pertuduhan yang dikenakan FA.

 

 

FA mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman terhadap individu, termasuk penggantungan daripada aktiviti bola sepak sekiranya didapati bersalah.

Dalam kenyataan rasmi, Southampton memaklumkan bahawa kelab itu dan Eckert mengakui pertuduhan berkenaan serta akan terus memberikan kerjasama penuh kepada FA sepanjang proses siasatan.

Kelab itu turut menegaskan fokus mereka kini adalah membuat persiapan menghadapi musim baharu sambil mengekalkan sokongan terhadap Eckert dan barisan kejurulatihannya.

Pemilik Southampton, Dragan Solak, sebelum ini dilaporkan tidak bercadang memecat Eckert walaupun jurulatih dari Jerman itu telah mengakui kesilapan pertimbangannya dalam insiden berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement