Skip to main content

Malaysia

Lelaki Orang Asli maut, teman wanita cedera, motosikal terbabas dalam parit di Langkap

Sumber: JBPM PERAK
Seorang lelaki Orang Asli maut manakala seorang wanita yang dipercayai teman wanitanya cedera selepas motosikal yang mereka naiki terbabas ke dalam parit berhadapan sebuah kafe di Kampung Chui Chak, Langkap, malam tadi. - Gambar JBPM Perak

IPOH: Seorang lelaki Orang Asli maut manakala seorang wanita yang dipercayai teman wanitanya cedera selepas motosikal yang mereka naiki terbabas ke dalam parit berhadapan sebuah kafe di Kampung Chui Chak, Langkap, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 11.36 malam.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan digerakkan ke lokasi yang jaraknya 28 kilometer dari balai.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati seorang lelaki berketurunan orang asal berusia 31 tahun berada di dalam keadaan tertiarap dalam parit.

“Juga didapati seorang wanita berketurunan orang asal berusia 25 tahun berada di atas tebing dan mengalami kecederaan patah pergelangan kedua–dua belah tangan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau berkata, mangsa lelaki tersebut kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir.

Menurut Sabarodzi, ketua operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep SAVER, seterusnya mengarahkan anggota mengangkat mangsa dari dalam parit dengan menggunakan pengusung.

Katanya, mangsa kemudiannya diperiksa oleh pegawai perubatan KKM yang hadir dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans KKM.

Operasi yang membabit tujuh anggota bomba tamat jam 1.06 pagi tadi.

Must Watch Video

Advertisement