Skip to main content

Dunia

Riyadh Air lancar penerbangan pertama ke London

Riyadh Air -- FB
Penerbangan pertama itu menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid ke London Heathrow pada 2.30 pagi waktu tempatan. -Foto Facebook

RIYADH: Syarikat penerbangan nasional baharu Arab Saudi, Riyadh Air, melancarkan penerbangan komersial sulungnya ke London, sekali gus menamatkan penantian selepas berdepan kelewatan lebih setahun.

Penerbangan pertama itu menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid ke London Heathrow pada 2.30 pagi waktu tempatan.

Menurut laporan media antarabangsa, pelancaran syarikat yang disokong Dana Pelaburan Awam (PIF) itu merupakan sebahagian daripada strategi Visi 2030 untuk mempelbagaikan ekonomi dan memperkukuh kedudukan Riyadh sebagai hab penerbangan global.

Ketua Pegawai Eksekutif Riyadh Air Tony Douglas berkata pelancaran asal dijadualkan pada 2025 namun tertangguh susulan kelewatan penghantaran serta proses pensijilan pesawat.

Beliau berkata, meskipun sektor penerbangan serantau terkesan akibat ketegangan geopolitik, kedudukan Riyadh yang lebih stabil membolehkan operasi syarikat diteruskan seperti dirancang.

Riyadh Air turut memulakan jualan tiket bagi laluan London serta destinasi serantau ke Dubai yang dijadual bermula 18 Jun.

Syarikat penerbangan itu menyasar untuk mengendalikan lebih 100 destinasi global menjelang 2030 menggunakan armada pesawat moden.

 

Must Watch Video

Advertisement