RAKYAT Israel secara majoriti percaya bahawa Iran muncul lebih kuat daripada perang tersebut serta perjanjian susulannya dengan Amerika Syarikat, menurut satu tinjauan yang dikeluarkan pada Ahad seperti dilapor Al Jazeera.
Tinjauan melibatkan 3,644 responden itu dijalankan antara 17 hingga 20 Jun oleh Universiti Ibrani Baitulmaqdis dengan kerjasama Institut Agam, dan menggambarkan sentimen awam yang ketara susulan perjanjian Amerika Syarikat-Iran.
Daripada jumlah yang ditinjau, 92.1 peratus menyatakan bahawa Iran memenangi atau memperoleh lebih banyak manfaat daripada konflik tersebut, manakala 82.9 peratus berpendapat bahawa keselamatan jangka panjang Israel telah menjadi lebih lemah.
Tinjauan itu mendapati bahawa walaupun dalam kalangan pengundi yang menyokong blok sayap kanan, iaitu asas sokongan politik Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, 93.1 peratus percaya bahawa Iran telah menang.
Penentangan terhadap perjanjian Amerika Syarikat-Iran itu adalah meluas, dengan 63.2 peratus responden menyatakan mereka menentangnya berbanding hanya 12.1 peratus yang menyatakan sokongan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada Rabu (17 Jun) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan menamatkan konflik antara kedua-dua negara, menurut Reuters.
Memorandum berkenaan telah ditandatangani secara digital lebih awal oleh Naib Presiden AS, JD Vance dan ketua perunding Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, dengan proses itu turut disaksikan oleh Trump.
Pemeteraian perjanjian itu telah membuka jalan kepada rundingan secara langsung di Switzerland.
AS dan Iran pada asalnya dijadual mengadakan rundingan itu di Switzerland pada Jumaat (19 Jun) bagi memulakan tempoh rundingan selama 60 hari, namun ia ditangguhkan.
Selepas berjaya memeterai gencatan senjata pada 8 April, Pakistan menjadi tuan rumah kepada rundingan langsung peringkat tertinggi antara Washington dan Tehran pada 12 hingga 13 April, yang pertama sejak kedua-dua negara memutuskan hubungan diplomatik pada 1979.