Skip to main content

Dunia

Raja Charles akan dedah jumlah cukai dibayar - Istana Buckingham

Britain's King Charles III salutes as he rides with Queen Camilla in a open top carriage during Trooping The Colour, the King's annual birthday parade, in London, Saturday, June 13, 2026. (AP Photo/Kirsty Wigglesworth)
Di bawah undang-undang, Raja Charles tidak diwajibkan membayar cukai pendapatan, cukai keuntungan modal atau cukai pusaka ke atas harta yang diterimanya daripada mendiang Ratu Elizabeth II. - Gambar AP

LONDON: Buat pertama kali, Raja Britain, Raja Charles III akan mendedahkan kepada umum jumlah cukai yang dibayarnya sebagai Raja pada Khamis, dalam usaha Istana Buckingham meningkatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti.

Menurut jurucakap istana, langkah itu diambil ketika institusi diraja berdepan penelitian yang semakin meningkat terhadap urusan kewangan mereka.

Di bawah undang-undang, Raja Charles tidak diwajibkan membayar cukai pendapatan, cukai keuntungan modal atau cukai pusaka ke atas harta yang diterimanya daripada mendiang Ratu Elizabeth II. 

Namun, beliau secara sukarela bersetuju membayar cukai pendapatan serta cukai keuntungan modal, khususnya melibatkan aset persendirian.

Butiran tersebut akan diumumkan sebagai sebahagian daripada laporan tahunan kewangan diraja yang dijadualkan diterbitkan pada Khamis.

Selain geran kerajaan berjumlah 132 juta pound bagi tahun kewangan 2025/2026 untuk menyokong tugas rasmi, Raja Charles turut memperoleh pendapatan peribadi daripada tanah, estet persendirian dan pelaburan.

Jurucakap Istana Buckingham berkata, pendedahan itu bertujuan meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai tahap akauntabiliti institusi diraja.

Menurut istana, Raja Charles sebelum ini turut berkongsi maklumat pembayaran cukainya ketika bergelar Putera Wales dan akan meneruskan amalan itu pada masa hadapan.

Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen Britain sebelum ini melancarkan siasatan terhadap pengaturan hartanah kediaman yang disediakan kepada anggota keluarga diraja. - Agensi
 

Must Watch Video

Advertisement