DOHA: Kementerian Pengangkutan Qatar pada Ahad mengumumkan penyambungan semula sepenuhnya navigasi maritim untuk semua jenis kapal laut, berkuat kuasa serta-merta, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan, kementerian itu menggesa semua pemilik dan pengendali kapal untuk mematuhi peraturan serta arahan yang ditetapkan, dan memastikan semua peralatan yang diperlukan tersedia bagi menjamin tahap keselamatan tertinggi semasa pelayaran.
Penyambungan semula itu menyusul selepas keputusan kementerian pada Isnin untuk menggantung sementara navigasi maritim dan aktiviti laut bagi semua jenis kapal sebagai langkah pencegahan untuk melindungi keselamatan awam.
Penggantungan itu diumumkan sehari selepas Kementerian Dalam Negeri Qatar memaklumkan bahawa seorang warga Qatar ditemukan meninggal dunia manakala seorang penduduk Arab cedera selepas sebuah kapal yang hilang dikesan semasa operasi mencari dan menyelamat semalaman.
Menurut kementerian tersebut, kapal berkenaan ditemukan pada awal pagi 28 Jun. Warga Qatar itu meninggal dunia selepas terkena serpihan yang dipercayai berpunca daripada operasi ketenteraan di rantau berkenaan, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
-- BERNAMA-XINHUA