Skip to main content

Dunia

Lapan cedera dalam insiden tembakan semasa sambutan Hari Kemerdekaan AS di New York

At least eight shot, including four children, in New York, ABC News reports_REUTERS
Polis menemukan sepucuk senjata api di lokasi kejadian. Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan masih diteruskan. - Foto REUTERS

NEW YORK: Lapan orang, termasuk empat kanak-kanak, ditembak pada malam Sabtu di Coney Island, New York City, lapor Xinhua memetik polis tempatan.

Pesuruhjaya Jabatan Polis New York (NYPD) Jessica Tisch berkata seorang lelaki yang identitinya belum dikenal pasti, berpakaian serba hitam dan memakai topeng ski hitam, menghampiri satu majlis barbeku keluarga di halaman hadapan sebuah bangunan pangsapuri sebelum melepaskan beberapa das tembakan. Coney Island terletak di daerah Brooklyn.

Beliau berkata seorang wanita berusia 21 tahun yang terkena tembakan di dada berada dalam keadaan kritikal, manakala tujuh lagi mangsa berada dalam keadaan stabil. Empat kanak-kanak yang menjadi mangsa berusia antara enam hingga 14 tahun.

Polis menemukan sepucuk senjata api di lokasi kejadian. Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan masih diteruskan, kata Tisch.

Dalam satu insiden berasingan, seorang anggota polis ditembak pada vest kalis peluru dalam satu insiden tembakan tanpa provokasi di kawasan kejiranan Crown Heights, Brooklyn awal pagi Ahad.

Detektif itu mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Seorang suspek berusia 18 tahun telah ditahan dan polis turut merampas sepucuk senjata api, menurut Tisch.

Pelbagai aktiviti luar diadakan di New York sempena sambutan Hari Kemerdekaan atau Fourth of July sempena memperingati ulang tahun ke-250 Amerika Syarikat.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement