Skip to main content

Politik

PRN Johor: Anwar PM paling tegas lawan rasuah, sepatutnya disokong 100 peratus

BATU PAHAT, 5 Julai -- Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai tangan sebaik hadir pada Program Kenduri Rakyat di Villa Kemboja, Semerah hari ini._BERNAMA
Sarraf berkata, sejak memegang tampuk kepimpinan negara, Perdana Menteri telah menunjukkan kesungguhan konsisten untuk memperkukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negara. - Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya disokong 100 peratus oleh rakyat negara ini kerana membuktikan dirinya sebagai Perdana Menteri yang paling tegas melawan rasuah, terutama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Profesor Adjung Universiti SEGI, Dr Sarraf Rajesh berkata, sejak memegang tampuk kepimpinan negara, Perdana Menteri telah menunjukkan kesungguhan konsisten untuk memperkukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negara.

Katanya, pendekatan yang diambil bukan sekadar memberi penekanan kepada penguatkuasaan undang-undang, malah turut menekankan pembinaan budaya tadbir urus yang beretika, profesional dan bertanggungjawab.

"Langkah-langkah yang diperkenalkan mencerminkan iltizam tinggi untuk memastikan Malaysia dibangunkan berasaskan prinsip keadilan, kejujuran dan pentadbiran yang bersih demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

"Rasuah merupakan antara cabaran terbesar yang telah lama membelenggu negara. Ia bukan sahaja mengakibatkan ketirisan hasil negara, malah memberi kesan langsung kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial dan keyakinan rakyat terhadap institusi awam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, Anwar mendakwa terdapat parti politik yang berpakat mahu menjatuhkannya kerana kerajaan pimpinannya tegas dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata pentadbiran Kerajaan Madani yang tidak berkompromi dengan amalan mencuri wang rakyat atau menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi menjadi faktor yang menimbulkan rasa tidak beberapa pihak.

Menurut Sarraf, usaha membanteras rasuah bukan sekadar agenda politik, tetapi merupakan satu tanggungjawab nasional yang menentukan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara maju, berdaya saing dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Katanya, membanteras rasuah bukanlah satu tugas yang mudah dan memerlukan keberanian politik, ketegasan kepimpinan, kesabaran serta kesediaan untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tentangan daripada pelbagai pihak.

Pada masa sama, kata beliau, semua parti yang membentuk Kerajaan MADANI mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan kestabilan politik terus dipelihara agar kerajaan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada agenda pembangunan negara.

"Kejayaan membanteras rasuah memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira latar belakang politik, kerana manfaatnya akan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Dalam suasana politik yang semakin mencabar, setiap pihak sewajarnya mengutamakan kepentingan negara melebihi kepentingan politik sempit," katanya.

Jelasnya, persaingan politik adalah lumrah dalam sistem demokrasi, namun ia tidak seharusnya mengganggu usaha kerajaan dalam melaksanakan reformasi yang memberi manfaat kepada rakyat.

Sebaliknya, kerjasama yang membina antara semua pihak akan mempercepatkan pencapaian matlamat nasional, mengukuhkan keyakinan masyarakat, meningkatkan daya saing ekonomi serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.

"Saya percaya komitmen kerajaan yang dipimpin Anwar dalam memperkukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti merupakan satu langkah yang amat penting demi masa depan Malaysia.

"Semoga usaha murni ini terus diperkasakan sehingga penghujung penggal pentadbiran. Dengan kepimpinan berwawasan, sokongan padu rakyat serta kerjasama semua pihak, Malaysia berpotensi muncul sebagai sebuah negara yang benar-benar berintegriti, bebas daripada amalan rasuah, dihormati di peringkat antarabangsa serta menjadi contoh kecemerlangan tadbir urus kepada dunia," katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement