ARLINGTON, TEXAS: Cristiano Ronaldo mengesahkan bahawa Piala Dunia 2026 merupakan penampilan terakhirnya di kejohanan bola sepak paling berprestij itu ketika beliau bersiap sedia memimpin Portugal menentang Sepanyol dalam aksi pusingan 16 terbaik.
Pada usia 41 tahun, Ronaldo telah beraksi dalam enam edisi Piala Dunia, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah sukan itu.
Beliau turut mencipta rekod sebagai pemain pertama yang menjaringkan gol dalam enam kejohanan Piala Dunia berbeza.
Bercakap dalam sidang media menjelang perlawanan, Ronaldo berkata, beliau mahu menikmati setiap detik yang masih berbaki dalam kejohanan tersebut.
"Saya mahu menikmatinya sebanyak mungkin. Ini akan menjadi Piala Dunia terakhir saya, tetapi saya berharap esok bukanlah perlawanan terakhir saya."
Beliau turut mengakui, hari untuk mengakhiri kerjaya antarabangsa pasti akan tiba, namun menegaskan, beliau tidak mempunyai sebarang penyesalan kerana sudah memberikan segala-galanya kepada bola sepak.
"Saya akan meninggalkan sukan ini dengan hati yang tenang.
"Bukan 100 peratus, tetapi 1,000 peratus kerana saya telah memberikan segala-galanya kepada bola sepak. Saya tidak memerlukannya untuk hidup.
"Saya mempunyai kehidupan yang baik, tetapi saya bermain kerana minat. Saya bermain bola sepak kerana saya mencintainya.
"Kita perlu menikmati setiap hari. Saya sudah menjaringkan tiga gol dalam kejohanan ini, jadi saya rasa saya tidaklah beraksi terlalu buruk."
Ronaldo menjaringkan dua gol ketika menentang Uzbekistan di peringkat kumpulan sebelum menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Croatia dalam pusingan 32 terbaik, yang juga merupakan gol pertamanya dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia.
Mengulas pengalaman di kejohanan kali ini, Ronaldo menyifatkannya sebagai antara yang paling istimewa sepanjang kariernya.
"Ia sangat hebat. Pengalaman ini melangkaui apa yang berlaku di atas padang. Ini adalah Piala Dunia yang akan paling saya ingati kerana semangat dan sokongan orang ramai.
"Saya tidak tahu mengapa, tetapi dari sudut emosi, inilah yang terbaik. Saya benar-benar menikmatinya."
Pemenang Euro 2016 bersama Portugal itu turut menegaskan, beliau tidak memerlukan trofi Piala Dunia untuk melengkapkan legasi yang telah dibinanya sepanjang lebih dua dekad karier profesional.
"Saya tidak kekurangan apa-apa dalam hidup. Saya tidak akan menjadi lebih atau kurang Cristiano hanya kerana menang atau tidak memenangi Piala Dunia.
"Kami mempunyai kualiti untuk menjadi juara, tetapi hanya satu negara akan memenanginya. Usia memberi kematangan dan pengalaman."
Ronaldo juga berterima kasih kepada mereka yang mengkritiknya selama ini kerana percaya kritikan membantu seseorang untuk terus berkembang.
"Saya bersyukur walaupun terhadap serangan dan kritikan yang saya terima. Itulah cara terbaik untuk berkembang sebagai seorang insan dan saya berterima kasih kepada para wartawan atas perkara itu."
Ditanya mengenai bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, Ronaldo menyifatkan pemain berusia 18 tahun itu memiliki masa depan yang cerah.
"Dia pemain yang mempunyai masa depan besar. Tetapi bagi saya, kekuatan Sepanyol bukan terletak pada seorang pemain sahaja. Mereka mempunyai pasukan yang sangat baik.
"Semakin bersedia anda, semakin lama anda mampu bertahan dalam dunia bola sepak. Jika anda terlalu mendengar kritikan, anda akan tersasar.
"Ada kritikan yang membina dan ada juga kritikan yang bertujuan menjatuhkan anda. Jika mahu mempunyai karier yang panjang, anda perlu belajar menyesuaikan diri dan memberi tumpuan kepada kasih sayang serta sokongan peminat.
"Dari situlah saya belajar untuk terus bersemangat dengan apa yang saya lakukan," kata bintang bola sepak itu lagi. - Agensi