Skip to main content

Malaysia

Graduan TVET digesa ceburi keusahawanan

61765594912_RahimiIsmail.jpg
Rahimi berkata ramai alumni institusi TVET termasuk Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) berjaya muncul sebagai usahawan dengan ada antaranya mencatat pendapatan mencecah RM500,000 sebulan. - Gambar fail

BUKIT MERTAJAM: Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) digesa menceburi bidang keusahawanan bagi memanfaatkan peluang ekonomi bernilai tinggi, sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan berkemahiran yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Rahimi Ismail berkata, TVET bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, malah membuka ruang kepada graduan membina perniagaan sendiri berasaskan kemahiran dan teknologi.

Beliau berkata, ramai alumni institusi TVET termasuk Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) berjaya muncul sebagai usahawan dengan ada antaranya mencatat pendapatan mencecah RM500,000 sebulan.

"Justeru, kita mahu graduan IKTBN dan semua institusi TVET menceburi sektor keusahawanan kerana potensinya amat besar. Masih banyak peluang ekonomi yang boleh diterokai oleh anak tempatan," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Youth Robot Challenge (YRoboC) 2026 di IKTBN Bukit Mertajam, pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi masa depan seperti tenaga boleh baharu, tenaga solar, kenderaan elektrik (EV), automasi dan robotik yang dijangka menjadi pemacu utama ekonomi negara.

Katanya, Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang berkenaan bagi menyokong aspirasi menjadi pengeluar teknologi serta hab industri EV yang berdaya saing di rantau Asia Tenggara.

Sehubungan itu, beliau berkata, penganjuran YRoboC menjadi platform penting untuk melahirkan bakat muda berkemahiran tinggi, di samping memupuk budaya inovasi, kreativiti dan reka cipta dalam bidang robotik.

Beliau berkata, sejak diperkenalkan pada 2018, YRoboC telah menghimpunkan 882 pasukan, manakala edisi tahun ini disertai 163 pasukan termasuk penyertaan dari India.

Terdahulu, lima kategori dipertandingkan sepanjang pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas, iaitu 3KG Autonomous, 5KG Tower Conquer, Soccer Robot, 8KG Rumble dan 16KG Multibot.

Pada majlis sama, turut dilancarkan Program Solar IKTBN Bukit Mertajam sebagai pust latihan bagi melaksanakan kursus pemasangan Sistem Fotovolta Tersambung Grid (GCPV) yang menawarkan Sijil Kompetensi Pencantum Kabel daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) 

IKTBN Bukit Mertajam yang menerima pentauliahan daripada SEDA memulakan pengambilan pertama pelajar bagi Program Sijil Teknologi Elektrik Pemasangan Solar pada sesi 1/2026, manakala pengambilan kedua dijadualkan pada bulan ini.

--BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement