Skip to main content

Dunia

Qatar gesa Iran henti ancam keselamatan maritim susulan serangan ke atas kapalnya di Hormuz

A person sits on shallow water as cargo and commercial vessels are anchored in the Strait of Hormuz off Bandar Abbas, Iran, Monday, June 8, 2026. (Amirhosein Khorgooi/ISNA via AP)
Kementerian Luar Qatar berkata, serangan itu turut mengancam bekalan tenaga global serta merupakan “pelanggaran undang-undang antarabangsa secara nyata dan serius". - AP

ISTANBUL: Qatar mengutuk serangan Iran terhadap sebuah kapal miliknya berhampiran Selat Hormuz pada Selasa, selain menggesa Tehran menghentikan serta-merta tindakan yang mengancam keselamatan maritim dan bekalan tenaga global, lapor  Anadolu Ajansi (AA).

Jurucakap Kementerian Luar Majed al-Ansari menerusi kenyataan di platform media sosial X berkata, tindakan menyasarkan kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) milik Qatar, Al-Rekayyat, ketika melalui laluan strategik itu merupakan “serangan yang tidak boleh diterima terhadap keselamatan dan navigasi maritim antarabangsa.”

Beliau berkata serangan itu turut mengancam bekalan tenaga global serta merupakan “pelanggaran undang-undang antarabangsa secara nyata dan serius,” terutamanya peraturan yang menjamin kebebasan navigasi dan laluan selamat merentasi perairan antarabangsa.

“Kami menuntut Republik Islam Iran menghentikan serta-merta semua tindakan yang menjejaskan keselamatan wilayah atau mengancam keselamatan navigasi maritim antarabangsa dan mengelak daripada membahayakan bekalan tenaga global serta sumber negara-negara di rantau ini untuk kepentingan sempit mereka,” kata Ansari.

Beliau berkata Qatar meletakkan “tanggungjawab undang-undang sepenuhnya” ke atas Iran berhubung serangan itu serta sebarang kerosakan dan kesan yang timbul akibat perbuatannya.

Kapal Al-Rekayyat dilaporkan merupakan antara dua kapal komersial yang terkena peluru berpandu Iran berhampiran Selat Hormuz semasa melalui laluan itu pada lewat Isnin, menyebabkan kerosakan besar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Penyiar rasmi Iran, IRIB yang memetik sumber tidak didedahkan mendakwa, kapal tangki Qatar terbabit cuba melalui laluan Oman di Selat Hormuz dengan sokongan Tentera Laut Amerika Syarikat, dan disasarkan selepas mengabaikan amaran berulang kali daripada tentera Iran.

Selat Hormuz merupakan antara laluan sempit tenaga paling penting di dunia, yang mengendalikan sebahagian besar eksport minyak global dan gas asli cecair daripada pengeluar di rantau Teluk.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement