Skip to main content

Malaysia

MINDEF peruntuk RM2 juta taja 258 anggota ATM ikuti program Diploma WBL

KUALA LUMPUR, 7 Julai -- Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEE) Datin Roszanina Wahab (dua, kiri) ketika simbolik penyampaian surat tawaran pengajian pada Majlis Perasmian Program Diploma Work-Based Learning (WBL) 2.0 UPNM-ATM di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Sg Besi hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kelayakan akademik dianugerahkan berdasarkan pemetaan pengalaman kerjaya kepada kurikulum akademik. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM2 juta bagi menaja 258 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikuti Program Diploma Work-Based Learning (WBL) 2.0 Kohort Kedua, selain menyediakan dana tambahan RM6.5 juta bagi kohort ketiga pada suku ketiga tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan Datin Roszanina Wahab berkata dana RM6.5 juta itu bagi menaja lebih ramai anggota lain-lain pangkat daripada pelbagai tred perkhidmatan.

Beliau berkata program itu mengiktiraf pengalaman kerja serta kemahiran anggota ATM melalui pemetaan kepada kurikulum akademik universiti, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas menamatkan perkhidmatan.

“Pelaksanaan program WBL adalah sejajar dengan Kertas Putih Pertahanan dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi veteran, membantu mendapatkan peluang kerjaya kedua serta memainkan peranan lebih aktif dalam meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Program ini juga selari dengan Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 menerusi pengukuhan kapasiti pertahanan yang kompeten,” katanya ketika berucap merasmikan Program Diploma WBL 2.0 Kohort Kedua Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini semalam.

Roszanina berkata kohort pertama yang dilaksanakan tahun lepas membabitkan 461 anggota ATM, masing-masing 230 mengikuti pengajian di UPNM manakala 231 lagi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kesemuanya berjaya menamatkan pengajian dan layak bergraduasi pada tahun ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPNM Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata universiti itu bersedia menjadi pusat rujukan pembangunan program akademik WBL selepas menjadi universiti awam pertama membangunkan tiga program diploma iaitu Diploma Pengurusan Logistik, Diploma Pentadbiran Perniagaan dan Diploma Perkhidmatan Teknologi Pertahanan berasaskan pendekatan itu pada awal 2025.

“Program ini memberi pengiktirafan terhadap kepakaran, kemahiran serta pengalaman kerja anggota lain-lain pangkat ATM tanpa memerlukan kehadiran fizikal ke kuliah secara berkala di institusi pengajian tinggi.

“Sebaliknya, kelayakan akademik dianugerahkan berdasarkan pemetaan pengalaman kerjaya kepada kurikulum akademik dan membolehkan pelajar menerima diploma yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.

Menurutnya, UPNM turut merancang menawarkan Diploma Operasi Pertahanan dan Keselamatan serta Diploma Perkhidmatan Pengangkutan Pertahanan mulai tahun depan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement