KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Luar Negeri dan Daya Tarikan Ekonomi Perancis Nicolas Forissier akan melawat Malaysia pada Rabu untuk memperdalam kerjasama dua hala dan mewujudkan peluang baharu bagi perniagaan Perancis.
Kedutaan Perancis di Malaysia berkata lawatan itu mencerminkan komitmen Perancis untuk memperkukuh lagi kerjasama ekonominya dengan Malaysia, pemain utama di Asia Tenggara dan rakan kongsi strategik dalam sektor yang penting untuk kedaulatan dan daya tahan kedua-dua ekonomi.
“Di Kuala Lumpur, menteri akan mengadakan pertemuan dengan beberapa anggota kerajaan Malaysia, termasuk menteri yang bertanggungjawab untuk Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Sains, Teknologi dan Inovasi; Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar; dan Peralihan Tenaga dan Transformasi Air,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut misi itu, semasa lawatan tersebut, Forissier juga akan mengambil bahagian dalam Hari Inovasi dan berinteraksi dengan pemimpin perniagaan Malaysia mengenai daya tarikan Perancis sebagai destinasi pelaburan dan peluang untuk pelaburan masa hadapan.
“Di samping itu, beliau akan bertemu dengan delegasi syarikat Perancis yang mengiringinya, yang dianjurkan oleh Business France, serta wakil syarikat utama Perancis yang ditubuhkan di Malaysia, dengan tujuan untuk menyokong pertumbuhan mereka dan memupuk perkongsian ekonomi baharu,” katanya.
Ia menambah lawatan itu akan menguatkan lagi kehadiran ekonomi Perancis di Malaysia dan mengutuhkan kolaborasi berpandangan ke hadapan yang tertumpu pada inovasi, peralihan tenaga dan industri strategik.
-- BERNAMA