Skip to main content

Dunia

Puteri Aiko tidak boleh jadi maharaja Jepun - Pemimpin LDP

81638689320_PrincessAiko.jpg
Puteri Aiko yang berusia 24 tahun adalah anakanda tunggal Maharaja Naruhito dan Maharani Masako. - Gambar fail/AP

TOKYO: Seorang Ahli Parlimen kanan daripada parti pemerintah Jepun, Parti Liberal Demokratik (LDP) berkata pada Ahad yang Puteri Aiko tidak boleh menjadi maharaja di bawah undang-undang pewarisan takhta semasa Jepun, sambil menambah bahawa tiada siapa yang mahu mengahwininya jika beliau menaiki takhta, lapor Kyodo News.

Hirofumi Nakasone, 80, bekas Menteri Luar yang kini mengetuai ibu pejabat pembaharuan perlembagaan LDP, membuat kenyataan itu ketika berucap di Takaoka, Wilayah Toyama, ketika Ahli Parlimen terus membincangkan cara menangani penyusutan bilangan anggota keluarga diraja.

Merujuk kepada Puteri Aiko yang berusia 24 tahun, anakanda tunggal Maharaja Naruhito dan Maharani Masako, Nakasone berkata pelantikannya sebagai maharaja adalah "langsung tidak boleh dipertimbangkan" di bawah Undang-Undang Kerabat Diraja yang berkuat kuasa.

Beliau berkata jika Puteri Aiko menjadi maharaja ketika masih belum berkahwin, "tiada siapa yang sanggup mengahwininya" kerana tekanan yang bakal dihadapi oleh bakal suaminya.

Anak kepada bekas Perdana Menteri Yasuhiro Nakasone itu turut berkata Puteri Aiko akan menghadapi "tekanan yang amat besar" untuk melahirkan seorang pewaris lelaki.

Undang-Undang Kerabat Diraja Jepun yang digubal pada 1947 mengehadkan pewarisan takhta kepada keturunan lelaki melalui susur galur sebelah bapa, sekali gus menyebabkan Puteri Aiko tidak layak mewarisi takhta walaupun beliau merupakan anakanda tunggal Maharaja.

Isu itu semakin mendapat perhatian apabila bilangan anggota keluarga diraja lelaki yang layak mewarisi takhta semakin mengecil.

Tinjauan pendapat umum menunjukkan sokongan yang kukuh terhadap cadangan membenarkan seorang wanita menjadi maharaja, namun LDP yang berhaluan konservatif masih berhati-hati terhadap cadangan berkenaan.

"Ia bukan soal undian popular," kata Nakasone. "Ini berkaitan siapa yang akan mewarisi takhta maharaja negara dan kita perlu membincangkannya dengan tenang berdasarkan undang-undang."

Beliau berkata orang ramai perlu memahami terlebih dahulu kerangka perundangan yang sedia ada, sambil memberi amaran bahawa jika tidak, "perbahasan itu boleh tersasar daripada landasan yang betul."

Dikenali sebagai monarki turun-temurun tertua di dunia, keluarga diraja Jepun hampir berdepan krisis pewarisan takhta sebelum kelahiran Putera Hisahito pada 2006, yang merupakan kelahiran pertama waris lelaki dalam keluarga diraja sejak 1965, iaitu tahun kelahiran bapanya, Putera Mahkota Fumihito.

-- BERNAMA-KYODO

Must Watch Video

Advertisement