SEMPORNA: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mengesan terdapat pengusaha pelancongan asing menggunakan penama tempatan bagi pengoperasiaan pusat peranginan termasuk penginapan di Semporna.
Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata tinjauan serta maklumat awal yang diperoleh itu membabitkan pengusaha dalam kalangan warganegara China yang melabur di sini dan perkara itu merugikan ekonomi negara serta mewujudkan ancaman keselamatan.
"Cara yang tidak betul akan menyebabkan ancaman kepada keselamatan pelancong, terdapat pelancong dari negara luar, terdapat pelancong yang menginap di resort ataupun di hotel-hotel penginapan, inap desa tidak tidak berdaftar.
"Keberadaan penginapan itu tidak diketahui oleh pasukan keselamatan, jadi bayangkanlah kalau berlaku sesuatu, kita (keselamatan) tidak tahu keberadaan mereka dan antara sebabnya juga untuk mengelakkan pusat berkenaan menjadi pusat untuk scammer," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sesi libat urus ESSCOM bersama dengan pengusaha pusat peranginan, penginapan Semporna di sini, hari ini.
Victor, dalam pada itu, menegaskan bahawa tiada kompromi bagi pengusaha pelancongan di sini yang membawa pelancong mahupun pemancing masuk ke negara jiran melalui pintu masuk yang tidak sah.
Sementara itu, katanya, sesi libat urus yang diadakan antara ESSCOM dengan pengusaha pelancongan itu memberikan pendedahan kepada komuniti agar pusat pelancongan yang beroperasi secara haram didaftarkan dengan segera.
-- BERNAMA