GENEVA: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Ahad memberi amaran bahawa gelombang haba dipercayai mengakibatkan lebih 1,300 kematian di seluruh Eropah, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Lebih 1,300 kematian direkodkan sejak 21 Jun yang dikaitkan dengan suhu tinggi di Eropah," kata Tedros menerusi hantaran di platform X.
Beliau berkata Eropah merupakan benua yang mengalami pemanasan paling pantas di dunia dengan kadar peningkatan suhu dua kali ganda berbanding purata global.
"Ketika ini, kira-kira 150 juta penduduk hidup dalam keadaan cuaca panas melampau, ratusan nyawa telah terkorban, sekolah ditutup dan sistem bekalan elektrik semakin terbeban," katanya.
Europe is the fastest-warming continent on Earth, heating at twice the global average. Right now 150 million people are living under extreme heat, hundreds have died, schools are shut, grids are buckling.
Driven by climate change and global warming, the phenomenon of the…— Tedros Adhanom Ghebreyesus (@DrTedros) June 28, 2026
Menurut beliau, fenomena gelombang haba yang dahulunya dianggap berlaku sekali dalam satu generasi kini hampir menjadi kejadian tahunan akibat perubahan iklim dan pemanasan global.
Minggu ini, beberapa negara Eropah termasuk Jerman, Poland dan Republik Czech mencatat rekod baharu apabila bacaan suhu mencecah sekitar atau melebihi 40 darjah Celsius.
Tedros berkata tegasan haba sering digelar sebagai "pembunuh senyap" dan kebanyakan kediaman, tempat kerja dan sekolah di Eropah tidak direka bentuk untuk menghadapi suhu yang tinggi.
Awal minggu ini, beliau turut mengingatkan bahawa kira-kira 500,000 orang di seluruh dunia meninggal dunia setiap tahun akibat faktor berkaitan haba, sambil menegaskan banyak daripada kematian itu sebenarnya boleh dicegah.
-- BERNAMA-dpa