Skip to main content

Bisnes

Saham Astro melonjak 17 peratus selepas kerjasama baharu dengan RTM

51754549284_Astrobuilding.jpg
Saham Astro dibuka pada 6.5 sen sebelum meningkat ke paras tertinggi 7.5 sen dan ditutup pada tujuh sen untuk sesi dagangan tengah hari. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Saham Astro Malaysia Holdings Bhd melonjak sehingga 17 peratus dalam dagangan pagi Isnin susulan pengumuman kerjasama baharu dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM), sekali gus menarik minat pelabur terhadap syarikat penyiar berbayar itu.

Memetik portal perniagaan, The EDGE Malaysia, saham Astro dibuka pada 6.5 sen sebelum meningkat ke paras tertinggi 7.5 sen dan ditutup pada tujuh sen untuk sesi dagangan tengah hari. 

Kaunter itu turut menjadi antara yang paling aktif di Bursa Malaysia dengan lebih 50 juta saham diniagakan.

Menerusi perjanjian yang diumumkan pada 26 Jun lalu, saluran TV1, TV2 dan TV Okey akan terus disiarkan di platform Astro selepas 1 Julai. 

Selain itu, RTM News, Sukan+ serta stesen radio RTM dijangka ditawarkan kepada pelanggan Astro pada masa akan datang.

Perjanjian itu membatalkan keputusan terdahulu RTM untuk menghentikan siaran tiga saluran berkenaan di Astro selepas rundingan berhubung fi penyiaran gagal mencapai persetujuan.

Must Watch Video

Advertisement