Skip to main content

Politik

PRN Johor: Sepatutnya tidak ada masalah untuk debat – Puad Zarkashi

Puad Zarkashi
Jelas Mohd Puad, pandangan Onn Hafiz bahawa debat bukan cara Johor adalah tidak tepat, sebaliknya ia boleh dilakukan secara berhemah dan beradab. - Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sepatutnya tiada masalah untuk berdebat dengan bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, yang digambarkan sebagai ‘poster boy’ Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, Menteri Besar Johor itu juga seharusnya menggunakan peluang tersebut untuk membuktikan siapa yang mempunyai visi yang lebih baik untuk Johor.

Jelasnya, pandangan Onn Hafiz bahawa debat bukan cara Johor adalah tidak tepat, sebaliknya ia boleh dilakukan secara berhemah dan beradab.

“Saya yakin Onn Hafiz sebenarnya takut untuk berdebat dengan Maszlee. Dia guna alasan ‘bertikam lidah, berdebat bukan cara Johor’. Siapa kata berdebat bukan cara Johor?

“Cara Johor ialah berdebat secara beradab, berhemah, tidak menengking dan tiada boo. Berdebat biar ada hujah dan rasional. Saya yakin Onn Hafiz banyak hujah. Sepatutnya Onn Hafiz setuju berdebat. Itu memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian.

“Kalau takut, Onn Hafiz boleh hantar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh sebagai wakil. Dia memang berani, cuma berani tidak bertempat,” tegasnya.

Mohd Puad sebelum ini mengumumkan keputusan keluar parti serta-merta atas alasan UMNO Johor pimpinan Onn Hafiz hanya sekadar ‘boneka politik’, selain mengkritik campur tangan Istana Johor dalam proses pilihan raya.

Bagaimanapun, semakan mendapati beliau telah menurunkan catatan tersebut selepas menerima kritikan pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan mengheret institusi Diraja dalam polemik politik.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendakwa tindakan Puad didorong oleh rasa tidak puas hati susulan keputusan parti tidak mencalonkan anaknya dalam PRN kali ini.

Dalam pada itu, Mohd Puad turut mendakwa beliau pernah dilarang membenarkan perbahasan Enakmen ADUN Lantikan melibatkan dua wakil BNBBC dan dua daripada blok pengimbang.

“Saya tanya kenapa takut? Bukankah ia akan lulus kerana kerajaan menguasai majoriti dua pertiga?

“Dia kata takut pengimbang akan gunakan itu untuk mengkritik program Bantuan Kasih Johor (BKJ). Ada kalanya dia minta saya pendekkan masa sesi soalan lisan atau sesi perbahasan. Saya kata tidak boleh. Ia tidak adil kepada YB-YB yang menyediakan soalan.

“Ia juga merendahkan martabat DUN kerana nadi Dewan ialah soalan lisan daripada wakil rakyat,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement