Skip to main content

Malaysia

Jenayah rentas sempadan: Polis Perlis tingkatkan operasi risikan, penguatkuasaan

[TB]_Ketua Polis Perlis Muhammad Abdul Halim_FB POLIS PERLIS
Muhammad berkata, kebanyakan suspek yang ditahan di bawah ATIPSOM dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah lain termasuk penyeludupan dadah dan pemilikan senjata api. - Facebook Polis Perlis

PADANG BESAR: Polis Kontinjen Perlis akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain serta meningkatkan operasi risikan dan penguatkuasaan bagi memastikan negeri itu kekal selamat.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata pihaknya komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan melalui tindakan penguatkuasaan secara berterusan. 

Beliau berkata sebanyak lapan kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) membabitkan tangkapan 11 tekong serta 33 pendatang tanpa izin dari beberapa negara direkodkan pihak polis negeri itu bagi tempoh Mei lepas hingga setakat ini.

“Lima kes direkodkan pada Mei melibatkan penahanan tujuh tekong, seorang daripada tekong itu merupakan warganegara Thailand dan 21 pendatang tanpa izin melibatkan warganegara Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.

“Bagi bulan ini pula, sebanyak tiga kes direkodkan dengan penahanan empat tekong dan 12 pendatang tanpa izin yang terdiri daripada warganegara China dan Myanmar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini hari ini.

Muhammad berkata kebanyakan suspek yang ditahan di bawah ATIPSOM dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah lain termasuk penyeludupan dadah dan pemilikan senjata api.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan sebahagian pendatang tanpa izin memasuki Malaysia melalui kawasan sempadan selepas dipercayai melarikan diri dari kawasan utara Thailand susulan tindakan tegas pihak berkuasa negara itu terhadap aktiviti penipuan dalam talian.

“Berikutan itu, pihak polis akan terus mempertingkatkan kawalan di laluan masuk terutama laluan tikus dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain bagi mengekang sebarang cubaan penyusupan melalui jalan darat mahupun laut,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement