Skip to main content

Dunia

PM baharu UK rombak Kabinet, Healey dilantik Menteri Kewangan

X @JohnHealey_MP
Pelantikan Healey (foto) untuk menerajui Perbendaharaan bagi menggantikan Reeves mengejutkan banyak pihak di Westminster. -Gambar fail/X

LONDON: John Healey dilantik sebagai Menteri Kewangan, Ed Miliband sebagai Menteri Luar manakala Shabana Mahmood kekal sebagai Menteri Dalam Negeri, ketika Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK) Andy Burnham melakukan rombakan besar Kabinet.

David Lammy, Rachel Reeves dan Steve Reed merupakan antara menteri kanan Kabinet yang digugurkan oleh Perdana Menteri baharu itu, lapor PA Media/dpa.

Pelantikan Healey untuk menerajui Perbendaharaan bagi menggantikan Reeves mengejutkan banyak pihak di Westminster.

Healey, yang baru-baru ini meletak jawatan sebagai Setiausaha Pertahanan di bawah pentadbiran Starmer susulan pertikaian mengenai pembiayaan ketenteraan, merupakan tokoh berpengalaman dalam barisan hadapan Parti Buruh dan dilihat sebagai individu yang boleh dipercayai.

Beliau menyifatkan pelantikan ke jawatan penting itu sebagai “penghormatan terbesar”.

Seorang lagi tokoh kanan Parti Buruh, Miliband, dipindahkan daripada portfolio tenaga untuk menerajui Kementerian Luar, manakala Mahmood dikekalkan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Louise Haigh, yang meninggalkan jawatan Menteri Pengangkutan di bawah pentadbiran Starmer pada 2024 dan merancang usaha Burnham untuk mengambil alih kepimpinan sejak tahun lepas, dilantik sebagai Setiausaha Negara Pertama, Canselor Duchy of Lancaster dan Menteri Pejabat Kabinet.

Menteri Kebudayaan Lisa Nandy dilihat memasuki 10 Downing Street, sekali gus mencetuskan jangkaan bahawa beliau mungkin diberikan jawatan kanan.

Angela Rayner, yang telah dibebaskan daripada dakwaan berkaitan urusan cukainya selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan anggota Kabinet di bawah Starmer, turut dilihat memasuki Downing Street.

Penyokong kuat Burnham, Lucy Powell dan Anneliese Midgley, turut hadir.

Reeves kehilangan portfolio Perbendaharaan dan difahamkan menolak tawaran Burnham untuk memegang satu lagi jawatan kanan dalam kerajaan.

Lammy, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman di bawah Starmer serta pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar, mengumumkan pengundurannya daripada kerajaan menerusi media sosial.

Peter Kyle, yang berkhidmat sebagai Menteri Perniagaan, bekas Menteri Teknologi Liz Kendall dan bekas Peguam Negara Lord Hermer turut mengumumkan pengunduran mereka daripada kerajaan.

Beberapa menteri muda turut mengumumkan pengunduran mereka daripada kerajaan pada awal Isnin.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

Must Watch Video

Advertisement