WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata, pesawat baharu Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dihadiahkan oleh Qatar akan menjalani proses naik taraf keselamatan utama di tengah-tengah laporan bahawa ia tidak mempunyai sistem pertahanan penangkis peluru berpandu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Ia mempunyai pelbagai keupayaan, tetapi berdasarkan apa yang saya faham, dalam tempoh kira-kira sebulan atau lebih, mereka akan menghantarnya untuk dinaik taraf ke tahap maksimum.
"Proses itu akan mengambil masa kira-kira sebulan,” kata Presiden pada Ahad malam apabila ditanya mengenai sebab beliau menaiki pesawat berkenaan walaupun ia tidak dilengkapi dengan sistem pertahanan anti-peluru berpandu.
Pada 19 Jun, pesawat Boeing 747-8 sumbangan Qatar itu secara rasmi mula berkhidmat sebagai pesawat baharu Air Force One untuk Presiden.
Pesawat Presiden itu dianggarkan bernilai AS$400 juta, menjadikannya hadiah paling bernilai dalam sejarah yang pernah diterima oleh mana-mana Presiden AS.
Pegawai serta bekas pegawai AS memaklumkan, proses pengubahsuaian pesawat berkenaan bagi memenuhi spesifikasi keselamatan Presiden akan mengambil masa bertahun-tahun serta menelan kos berbilion dolar.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI